Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perompak bersenjata dihukum penjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Mahkamah Perantaraan hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun berserta 12 kali sebatan ke atas seorang perompak bersenjata.

    Terdahulu, Muhammad Alimin @ Muhammad Abid bin Karim, 24, mengaku bersalah kerana merompak sebuah kedai serbaneka dengan bersenjatakan pisau.

    Dia membawa lari antara $300 dan $400, sebuah telefon bimbit dan kad pengenalan hijau dari kedai serbaneka tersebut yang terletak di Jalan Kebangsaan pada pukul 5:30 petang 15 Ogos lalu.

    Sementara itu, Nurul Siti Nabilah binti Haji Morni, 30, menafikan pertuduhan terhadapnya kerana telah membantu melupuskan harta benda yang dicuri pada petang yang sama.

    Perbicaraan terhadapnya ditetapkan untuk dijalankan pada bulan Mac 2022.

    Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni mendengar dari Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman bahawa Muhammad Alimin membuat perjalanan sebagai penumpang dengan seorang rakan pada hari tersebut dan meminta untuk singgah ke sebuah kedai serbaneka.

    Tertuduh kemudian masuk ke sebuah kedai dan meminta kad tambah nilai Easi daripada juruwang.

    Tiba-tiba, tertuduh mengeluarkan sebilah pisau yang dibalutnya dengan tuala dan mengacukannya kepada juruwang.

    Disebabkan takut nyawanya terancam, juruwang tersebut berundur ketika tertuduh mengambil wang tunai antara $300 hingga $400 dan mengambil telefon bimbit dengan kad pengenalan bersamanya.

    Tertuduh meninggalkan kedai dan memberitahu rakannya di dalam kereta bahawa dia baru saja merompak kedai tersebut.

    Mereka melarikan diri dari tempat kejadian dan bermalam di sebuah hotel di Kampung Kiarong, dan menginap menggunakan wang tunai yang dicuri.

    Keesokan harinya, tertuduh dan rakannya pergi ke sebuah kedai di Batu Satu di mana mereka membeli pakaian dan makanan.

    Tertuduh juga membayar hutang daripada membeli dadah sebelumnya.

    Kedua-duanya kemudian pergi ke sebuah rumah di Kampung Mata-Mata, milik sepupu rakan tertuduh, dan meminta perlindungan kerana mendakwa mereka dikejar.

    Kedua-duanya bermalam di sana dan keesokan harinya, maklumat orang ramai membawa kepada serbuan pihak polis ke rumah itu. Mereka berdua menyedari akan kehadiran polis dan melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki dapur rumah jiran.

    Pemilik rumah melihat kedua-duanya memasuki dapur dan segera mengarahkan polis ke tempat mereka bersembunyi, menyebabkan mereka ditangkap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda