Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini menetapkan tarikh 7 Oktober untuk menjatuhkan hukuman terhadap perompak bersenjata berikutan pengakuan bersalah dalam kes tersebut.
Muhammad Alimin @ Muhammad Abid bin Karim, 24, mengaku bersalah merompak kedai yang dikendalikan oleh seorang juruwang, dengan bersenjatakan pisau.
Dia membawa lari antara $300 dan $400, telefon bimbit dan kad pengenalan hijau dari kedai serbaneka tersebut yang terletak di Jalan Kebangsaan pada pukul 5:30 petang 15 Ogos lalu.
Sementara itu, Nurul Siti Nabilah binti Haji Morni, 30, menafikan pertuduhan terhadapnya kerana telah membantu melupuskan harta benda yang dicuri pada petang yang sama.
Perbicaraan terhadapnya ditetapkan untuk dijalankan pada Mac 2022.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni mendengar daripada Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman bahawa Muhammad Alimin membuat perjalanan sebagai penumpang kereta seorang rakan pada hari itu dan meminta untuk singgah ke sebuah kedai serbaneka.
Tertuduh kemudian masuk ke dalam kedai dan meminta kad tambah nilai Easi daripada juruwang.
Tiba-tiba, tertuduh mengeluarkan sebilah pisau yang dibalutnya dengan tuala dan mengacukannya ke arah juruwang.
Kerana bimbang akan nyawanya, juruwang berundur ketika mana tertuduh mengambil wang tunai, telefon bimbit dan kad pengenalan.
Tertuduh meninggalkan kedai dan memberitahu rakannya di dalam kereta bahawa dia baru saja merompak kedai tersebut. Mereka melarikan diri dari tempat kejadian dan mendaftar masuk ke sebuah hotel di Kiarong, yang dibayar oleh tertuduh menggunakan wang tunai yang dicuri.
Keesokan harinya, tertuduh dan rakannya pergi ke sebuah kedai di Batu Satu di mana mereka membeli pakaian dan makanan.
Tertuduh juga membayar hutang daripada pembelian dadah sebelumnya.
Kedua-duanya kemudian pergi ke sebuah rumah di Kampung Mata-Mata, milik sepupu rakan tertuduh dan meminta perlindungan daripada orang yang mereka dakwa mengejar mereka.
Kedua-duanya bermalam di sana dan keesokan harinya, hasil maklumat orang ramai menyebabkan polis menyerbu rumah itu.
Sebelum polis memasuki rumah itu, kedua-duanya mengetahui perkara berkenaan dan melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki dapur rumah jiran.
Pemilik rumah melihat kedua-duanya memasuki dapur dan segera mengarahkan polis ke tempat mereka bersembunyi, menyebabkan mereka ditangkap.