Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Mahkamah Perantaraan kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan 12 kali sebatan terhadap seorang warga tempatan yang merompak sebuah kedai serbaneka dengan bersenjatakan tukul besi di Jalan Pasir Berakas pada 9 Januari lalu.
Muhammad Zulqarnain bin Ajis, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu sebelum ini dan memohon kelonggaran mahkamah terhadap menjatuhkan hukuman, atas alasan keluarganya tidak menerima bonus yang dijanjikan oleh majikannya dan terdesak untuk membayar wang ibu mertua yang dipinjamnya bagi melunaskan bayaran kereta tertunggak.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni mendapati tindakan defendan melakukan rompakan bersenjata telah menyebabkan mangsa dalam ketakutan. Timbalan pendakwa raya menunjukkan rakaman CCTV yang memperlihatkan perbuatan tertuduh dan tindakannya yang memasukkan duit ke dalam mesin CDM bank bagi membayar hutang kereta. Pihak pendakwaan seterusnya mendedahkan, defendan memakai topeng dan topi ketika pergi ke kedai itu pada 1:40 tengah hari 9 Januari lalu.
Dia membawa tukul, mengacukannya ke arah pekedai berusia 19 tahun sambil menuntut wang $100. Mangsa menyerahkan wang tunai $100 kepada defendan dari mesin tunai dan kemudiannya secara paksa mengambil beg berisi wang tunai $240 daripada mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian. Defendan kemudian memandu ke mesin bank CDM di Muara dan memasukkan wang untuk membayar pinjaman kereta pada pukul 2 petang.
Walau bagaimanapun tindakan mangsa mengecam dan melaporkan maklumat mengenai butiran kereta defendan telah membantu polis dalam siasatan yang membawa kepada pena-hanan defendan pada malam yang sama.


