Perompak diberkas dalam masa 48 jam

BANDAR SERI BEGAWAN, 2010 – Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menahan seorang pemuda warga tempatan dalam tempoh 48 jam selepas dia melakukan rompakan menggunakan senjata di sebuah kawasan perniagaan di Gadong.

Menurut kenyataan polis, kejadian rompakan itu berlaku pada kira-kira pukul 9:30 pagi pada 28 Oktober 2010 dan polis berjaya memberkas pemuda berusia 25 tahun sekitar pukul 5 petang 30 Oktober. Lelaki berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah pada 1 November dan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah pada 4 November.

Menurut kenyataan itu, dalam kejadian berkenaan seorang perompak lelaki bersendirian mengacukan sebilah pisau kepada pekerja kedai di sebuah premis perniagaan di Gadong.

Lelaki yang menyembunyikan identitinya, meluru masuk ke kedai itu sambil mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja kedai yang sedang mengira stok barang.

Polis berkata, perompak berkenaan memaki baju lengan panjang berwarna biru seluar jeans hitam, topi berwarna krim, kaca mata gelap dan kasut hitam berjalur putih, memasuki kedai berkenaan dan menutup penutup besi kedai berkenaan serta mengancam pekerja wanita yang bersendirian pada masa kejadian.

Perompak itu mengarahkan pekerja terbabit supaya menyerahkan semua wang yang ada dan pekerja itu dengan perasaan takut, telah membuka mesin daftar tunai serta menunjukkan bahawa mesin itu tidak mengandungi wang.

Pekerja kedai itu kemudian menyerahkan beg duitnya dan perompak itu terus melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu lagi, susulan kejadian itu polis berkejar ke tempat kejadian dan berusaha untuk mengenal pasti perompak berkenaan. Hasil maklumat yang diperoleh daripada orang ramai dan penelitian terhadap rakaman dari kamera litar tertutup, anggota dari Balai Polis Pusat Bandar berjaya mengenal pasti identiti lelaki berkenaan seterusnya memberkasnya.