Wednesday, April 2, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perompak ditahan selepas dedah rompakan dalam Instagram

    LOS ANGELES, 1 APR – Tiga perompak yang meninggalkan telefon bimbit semasa rompakan bernilai AS$2.6 juta dan kemudian bermegah di Instagram sebagai sebahagian daripada kumpulan jenayah telah dijatuhkan hukuman penjara di California, menurut pihak berkuasa kelmarin.

    Ketiga-tiga lelaki tersebut menggunakan tukul besi dan besi pengumpil untuk merompak sebuah kedai barang kemas mewah di Beverly Hills pada tahun 2022, membawa lari sejumlah besar rantai, gelang dan jam tangan.

    Rompakan yang berlaku pada siang hari itu disaksikan oleh kakitangan dan pelanggan, bermula apabila Ladell Tharpe, 39 dan dua rakannya tiba di lokasi dengan beberapa kenderaan, salah satunya dilaporkan dicuri beberapa hari sebelum kejadian.

    Jabatan Kehakiman AS menyatakan bahawa semasa serangan itu, telefon bimbit milik seorang perompak, Jimmy Lee Vernon, 33, terjatuh dari poket seluarnya, memberikan penyiasat petunjuk penting.

    Bagaimanapun, siasatan turut dipermudah oleh tindakan Tharpe yang berani.

    “Dua hari selepas rompakan, Tharpe memuat naik gambar sejumlah wang tunai yang banyak di Instagram dengan kapsyen ‘Robbery Gang’,” kata pihak pendakwa raya persekutuan.

    Vernon dan Deshon Bell, 22, mengaku bersalah atas satu pertuduhan rompakan ketika dihadapkan ke mahkamah pada Februari tahun lalu.

    Bell dijatuhi hukuman penjara selama setahun, manakala Vernon dipenjara enam tahun lapan bulan.

    Tharpe dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah persekutuan kelmarin selepas mengaku bersalah atas kesalahan rompakan.

    “Tindakan jenayah berani yang menyasarkan perniagaan kecil di Los Angeles County tidak akan ditoleransi,” kata Pemangku Peguam Negara AS, Joseph McNally.

    “Akibat daripada perbuatan sedemikian adalah berat dan akan dihukum sewajarnya.” – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda