Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Lima lelaki warga Vietnam yang mengaku bersalah atas tuduhan pecah masuk dan melakukan rompakan berkumpulan, dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman memutuskan hukuman 13 tahun penjara dan 12 sebatan terhadap Ta Duc Hai, 22, Ta Duc Quyet, 38, Ta Duc Cuong, 38 dan Nguyen Tam Quy, 25, yang memainkan peranan utama dalam rompakan itu sementara Phan Duc Loc, 33 yang bertindak sebagai pemandu dijatuhi tiga tahun penjara dan dua sebatan.
Ta Duc Hai, Ta Duc Quyet, Ta Duc Cuong dan Nguyen Tam Quy berada di negara ini, menggunakan pas melawat manakala Phan Duc Loc bekerja sebagai buruh binaan di negara ini sejak 2010.
Tertuduh didakwa mencuri $4,000 dari sebuah syarikat pengedar makanan di Perindustrian Lambak Kanan pada awal pagi 2 September 2017 dan pada masa sama telah mengikat seorang pekerja syarikat warga India berusia 50 tahun yang ketika itu tidur di sofa. Wang yang dicuri itu kemudian dibahagi sama rata.
Mereka sekali lagi memecah masuk sebuah syarikat pengedar minuman di Perindustrian Beribi pada 7 September 2017 dan mencuri wang berjumlah $4,000 yang kemudian dibahagi sesama mereka.
Mereka turut memecah masuk sebuah syarikat makanan di Perindustrian Junjongan pada 24 September 2017 kira-kira jam 10 malam dan mencuri wang $8,000 yang kemudian dibahagi rata.
Mereka sekali lagi memecah masuk sebuah syarikat di Jalan Ikas Bandung pada 29 September 2017 namun perbuatan mereka yang cuba membuka tingkap telah membuat seorang pekerja terjaga daripada tidur apabila terdengar ‘bunyi’ yang datang dari arah tingkap.
Kesemua tertuduh melarikan diri apabila pekerja itu menjerit ke arah mereka.
Laporan polis dibuat, yang membawa kepada tangkapan kesemua tertuduh.
Kes didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff.