Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpaduan capai keharmonian kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Untuk mencapai keharmonian sesebuah kampung, perlunya penglibatan semua peringkat menerusi kegiatan berkebajikan yang diungkayahkan oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau majlis perundingan kampung (MPK).

    Perkara itu ditekankan oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.

    Majlis yang diadakan di perkarangan masjid itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan merupakan peluang untuk beramah mesra di samping bertukar-tukar fikiran bagi merancang kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan yang akan datang.

    Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini berkata, “Kita merasa bangga dengan kejayaan majlis ini yang mana ia telah menunjukkan kerjasama, semangat setia kawan dan kesatuan penduduk kampung dan jemaah masjid yang erat.”

    Beliau yang juga merangkap Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar melahirkan rasa terima kasih dan syabas kepada semua AJK kerja yang telah memberi kerjasama padu, memberikan sumbangan tenaga, kewangan serta sumbangan makanan yang menghasilkan kejayaan majlis berkenaan.

    Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Terdahulu, tetamu dan jemaah masjid telah mengadakan bacaan Surah Yasin dan seterusnya membaca tahlil yang dipimpin oleh imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.

    Haji Amir Hisham antara yang hadir pada majlis itu bersama tetamu lain.
    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda