Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpaduan, kepelbagaian suku kaum dan agama aset Sabah perlu dipertahankan

    PENAMPANG, 31 MEI – Perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat Sabah.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata keharmonian serta warna-warni seni budaya itulah yang menjadikan Sabah unik dan istimewa selain memiliki keindahan alam semula jadi yang tersendiri.

    “Hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hong-kod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

    Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023, dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

    Hajiji berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberikan sokongan kepada program yang bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi kesejahteraan dan keharmonian negeri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda