LONDON, 27 APRIL – Pep Guardiola mengakui perpisahan dengan Kevin De Bruyne adalah antara detik paling sukar dalam pengendaliannya di Manchester City.
Pemain tengah Belgium, De Bruyne akan meninggalkan City apabila kontraknya tamat pada penghujung musim selepas Guardiola memutuskan untuk tidak menawarkan perjanjian baharu kepadanya.
Minggu ini, pemain berusia 33 tahun tersebut mendedahkan kekecewaannya kerana tidak diberikan lanjutan tempoh 10 tahun bersama City.
De Bruyne telah dihantui beberapa siri kecederaan sejak dua tahun lalu, menyebabkannya kehilangan banyak masa beraksi dan kurang berkesan apabila dia kembali beraksi.
Dia menyertai senarai pemain City yang telah berpindah sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti Yaya Toure, Sergio Aguero, Fernandinho, David Silva dan Vincent Kompany.
Sungguhpun begitu, mengucapkan selamat tinggal kepada De Bruyne akan menjadi antara ucapan selamat tinggal yang paling menyakitkan bagi Guardiola.
“Saya telah menjalani banyak perkara dengan mereka, saat baik dan buruk,” katanya.
“Sergio, David Silva, semua pemain – kami boleh membuat senarai yang panjang selama sembilan tahun di sini.
“Terdapat ramai pemain yang masuk dan selepas mereka pergi, mereka adalah sebahagian daripada hidup saya. Mustahil untuk tidak merasainya. Sudah tentu, ia sangat sukar.
“Perasaan yang dia (Kevin) ada, saya faham sepenuhnya. Saya secara peribadi mendoakan yang terbaik untuk dia dan keluarganya.”
De Bruyne adalah salah seorang pemain yang paling dihormati dalam sejarah kelab dengan 16 trofi, termasuk enam gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Dia berpeluang menjulang Piala FA buat kali ketiga apabila City menentang Nottingham Forest pada separuh akhir di Wembley hari ini.
Memenangi Piala FA dan membantu City layak ke Liga Juara-Juara selepas musimnya bergelora akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi De Bruyne.
” Sudah tentu ini amat bagus. Prestasinya luar biasa selama ini dan, bulan ini, sekali lagi, sejak dia mengumumkan bahawa dia berada dalam beberapa bulan terakhir di Manchester City. Ia akan terus meningkat sehingga akhir,” kata Guardiola.
“Dia berlatih dengan sangat baik. Dia bermain dan membantu kami dengan kemahiran dan bakatnya. Saya tahu dia mahukan yang terbaik untuk kelab.”
