Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpisahan De Bruyne sukar diterima Guardiola

    LONDON, 27 APRIL – Pep Guardiola mengakui bahawa berpisah dengan Kevin De Bruyne merupakan salah satu detik paling sukar sepanjang dia membimbing Manchester City.

    Pemain tengah Belgium itu akan meninggalkan City apabila kontraknya tamat pada penghujung musim ini selepas Guardiola memutuskan untuk tidak menawarkan lanjutan kontrak baharu.

    De Bruyne, 33, minggu ini menyuarakan kekecewaannya kerana tidak diberikan lanjutan selepas 10 tahun berkhidmat bersama City.

    Dia sebelum ini sering dibelenggu kecederaan serius sepanjang dua tahun lalu, yang menyebabkan kehilangan banyak masa permainan dan menjejaskan prestasinya selepas kembali beraksi.

    De Bruyne menyertai senarai panjang pemain veteran City yang telah berpindah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Yaya Toure, Sergio Aguero, Fernandinho, David Silva dan Vincent Kompany.

    Kevin De Bruyne beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Aston Villa di Stadium Etihad, Manchester, England, pada 22 April. – AP

    Namun, mengucapkan selamat tinggal kepada De Bruyne yang begitu berpengaruh tetap menjadi antara perpisahan paling sukar buat Guardiola.

    “Saya telah melalui banyak perkara bersama mereka, banyak kenangan indah dan juga detik buruk,” katanya.

    “Sergio, David Silva, kesemua pemain – kami boleh membuat senarai panjang walaupun saya baru sembilan tahun di sini.

    “Terlalu ramai pemain yang datang dan kemudian pergi dan mereka semua menjadi sebahagian daripada hidup saya. Mustahil untuk tidak merasakannya. Sudah tentu, ia sangat sukar.

    “Saya benar-benar memahami perasaan Kevin. Tidak mungkin berbeza. Secara peribadi, saya mendoakan yang terbaik untuknya dan keluarganya.”

    De Bruyne merupakan antara pemain paling berjaya dalam sejarah kelab itu dengan 16 trofi, termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu Liga Juara-juara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda