Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpisahan mengecewakan buat Suarez

    MONTEVIDEO, 8 SEPT – Luis Suarez mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak antarabangsa dalam suasana mengecewakan apabila Uruguay terikat 0-0 dengan Paraguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

    Suarez, 37, pada Isnin lalu mengumumkan yang dia akan bersara daripada tugasan antarabangsa selepas 17 tahun bersama Uruguay yang menyaksikan dia muncul penjaring terbanyak negaranya dengan 69 gol daripada 143 penampilan.

    Namun bekas bintang Barcelona dan Liverpool itu, yang kini bersama Lionel Messi di kelab Major League Soccer, Inter Miami, gagal menemui sasaran pada perlawanan terakhirnya di Estadio Centenario, Montevideo.

    Walaupun menguasai 65 peratus permainan, Uruguay gagal menembusi benteng Paraguay dalam perlawanan yang dibelenggu 24 kekasaran.

    Suarez, yang kariernya dibayangi kontroversi seperti menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini ketika Piala Dunia 2014, salah seorang daripada empat pemain Uruguay yang dilayangkan kad kuning pada perlawanan berkenaan.

    Keputusan itu meletakkan Uruguay di tempat kedua dalam kejohanan pusingan kelayakan 10 pasukan Amerika Selatan dengan 14 mata daripada tujuh perlawanan, empat mata di belakang pendahulu Argentina.

    Colombia boleh memintas Uruguay dengan kemenangan ke atas Peru di Lima lewat Jumaat.

    Enam pasukan teratas dalam kedudukan Amerika Selatan layak secara automatik ke pusingan akhir 2026 di Amerika Utara dengan pasukan di tempat ketujuh mara ke playoff. – AFP

    Reaksi Luis Suarez (tengah), di sebelah isterinya Sofia Balbi dan anak-anak mereka bersebelahan replika Copa America di stadium Centenario di Montevideo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda