Salam sejahtera kepada sidang pengarang dan para pembaca yang budiman. Kisah yang ingin saya kongsikan ini terjadi sekitar enam bulan yang lalu. Malam itu, hujan turun dengan lebat, seolah-olah langit turut menangis. Di ruang kerja yang sunyi, telefon bimbit saya tiba-tiba bergetar. Suara adik di hujung talian terdengar lemah, “Kak, doktor kata ayah mungkin tak ada lepas malam ini. Kalau ada masa, datanglah ke hospital sekarang.”
Saya bingkas bangun, mencapai kunci kereta tanpa banyak bicara. Dalam perjalanan ke hospital, fikiran saya diselubungi kenangan tentang ayah. Seorang lelaki yang tegas, tetapi hatinya penuh kasih. Ayah yang tidak pernah meminta, tetapi sentiasa memberi. Ayah yang menjadi tiang utama kehidupan kami.
Setibanya di hospital, ayah terbaring lemah di atas katil. Tubuhnya kurus, matanya terpejam seolah-olah sedang nyenyak tidur. Saya menggenggam tangannya yang sejuk, berbisik perlahan, “Ayah, terima kasih atas segalanya. Saya sayang ayah.”
Sepanjang malam, saya berada di sisinya. Menggenggam tangan itu erat, seolah-olah ia dapat memberinya kekuatan untuk terus bertahan. Ketika nafas terakhir ayah berlalu, dunia terasa sunyi. Tiada lagi suara tegasnya, tiada lagi ketawa kecil yang pernah memecahkan suasana rumah. Hanya kekosongan yang menyelubungi.
Kehilangan ayah adalah kehilangan terbesar dalam hidup saya, tetapi ia juga membuka mata saya tentang nilai kehidupan dan hubungan. Kini, saya ingin bertanya kepada sidang pembaca, adakah awda pernah melalui perpisahan serupa? Bagaimana awda menghadapi rasa kehilangan itu? Saya percaya, kita semua mempunyai cerita yang dapat menguatkan sesama kita.
Najmina
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Najmina kerana sudi berkongsi dengan pembaca. Terlebih dahulu Dang MP ucapkan takziah kepada Najmina dan keluarga di atas kehilangan insan yang paling penting dan tersayang dalam keluarga, seorang ayah.
Kehilangan ayah adalah pe-ngalaman yang sangat mendalam dan penuh emosi.
Dalam menghadapi perpisahan seperti itu, penting untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk merasai setiap perasaan termasuk kesedihan, kehilangan, dan bahkan rasa seakan masih tidak percaya akan kehilangannya.
Melalui ruang untuk membenarkan perasaan demikian, diharapkan lama-kelamaan dapat mengubat rasa kecewa, membuka hati untuk menerima hakikat dan seterusnya mengumpul semangat untuk meneruskan kehidupan tanpa beliau di sisi.
Sebagai seorang Muslim, adalah amat disarankan supaya kita sentiasa mendoakan kebahagiaan dan diampunkan dosa kedua-dua ibu bapa kita.
Sentiasalah sedekahkan pahala bacaan ayat Al-Fatihah ataupun ibadat-ibadat lain kepada arwah. Dalam masa yang sama, sentiasalah kenangkan dan amalkan ajaran atau pesanan baik yang pernah beliau terapkan dahulu.
Selain itu, amatlah disarankan supaya Najmina mengekalkan hubu-ngan baik dengan saudara mara atau rakan-rakan beliau yang masih ada dengan cara bertanya khabar atau menziarahi mereka sekiranya ada peluang.
Ini adalah supaya dapat mengekalkan ikatan silaturahim yang sedia terjalin selain dapat menyegarkan kenangan-kenangan yang baik semasa beliau masih hidup.
Semoga Najmina sekeluarga tabah menghadapi kehilangan ini.