Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan Bergerak dilancar di SR Berakas Garison

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Sebagai usaha memberikan kemudahan akses bahan bacaan dan maklumat kepada warga sekolah dan sebagai bahan bacaan tambahan di perpustakaan sekolah, Bahagian Perpustakaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di Sekolah Rendah (SR) Berakas Garison, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei, sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Guru Besar SR Berakas Garison, Hajah Norhidayati binti Haji Mohd Ibrahim dan sesi membaca bersama selama 10 minit.

    Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak merupakan salah satu perkhidmatan jangkauan luar yang ditawarkan oleh Bahagian Perpustakaan, DBP.

    Dengan penyediaan perkhidmatan berkenaan, warga sekolah berpeluang menggunakan perkhidmatan perpustakaan secara mobil seperti perkhidmatan peminjaman dan pemulangan bahan.

    Murid-murid juga diberikan pendedahan untuk menggunakan perkhidmatan e-Buku secara percuma di sekitar Perpustakaan Bergerak itu.

    Selain penyediaan bahan bacaan, perkhidmatan berkenaan turut mengadakan pelbagai aktiviti interaktif untuk menarik lebih ramai murid dan seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu keseronokan.

    Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab semasa melancarkan Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di Sekolah Rendah Berakas Garison, kelmarin. Perkhidmatan tersebut dihasrat untuk melahirkan warga tempatan yang berinformasi, membaca dan berfikir. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Tetamu kehormat dibawa melawat ke dalam perpustakaan bergerak berkenaan.
    Sesi membaca selama 10 minit juga disertai oleh para murid sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda