Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan bergerak ubah nasib kanak-kanak

    COLOMBO, SRI LANKA – Pada waktu lapang, Mahinda Dasanayaka menyusun buku-buku ke dalam motosikalnya dan menunggang perpustakaan bergeraknya itu di seberang jalan yang berlumpur yang melintasi kawasan pergunungan penanaman teh untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik di kawasan pedalaman Sri Lanka.

    Setelah menyaksikan kesulitan yang dihadapi oleh kanak-kanak di kampungnya tidak mempunyai kemudahan perpustakaan, Dasanayaka mencari jalan untuk menolong mereka.

    Kemudian dia mendapat idea untuk membuat perpustakaan bergerak dengan menunggang motosikal.

    Dia memulakan programnya, yang dipanggil sebagai Book and Me pada tiga tahun yang lalu dan ia menjadi sangat popular di kalangan kanak-kanak.

    “Ada beberapa kanak-kanak yang belum pernah melihat buku cerita kanak-kanak sehinggalah saya pergi ke kampung mereka,” katanya.

    Dasanayaka, 32, bekerja sebagai pegawai perlindungan kanak-kanak untuk kerajaan.

    Pada hari cuti, kebanyakannya pada hujung minggu, dia akan menunggang motosikalnya, yang dipasang dengan kotak besi untuk menyimpan buku-buku mengelilingi kampung-kampung di luar bandar dan mengongsikan bahan bacaan kepada kanak-kanak secara percuma.

    “Kanak-kanak sangat berminat dan bersemangat, mereka tidak sabar menunggu saya dan selalu mencari buku baharu,” kata Dasanayaka melalui telefon.

    Kanak-kanak meminjam buku dari perpustakaan bergerak yang dikendalikan oleh Mahinda Dasanayaka, di sebuah kampung di daerah Kegalle, kira-kira 85 kilometer (53 batu) timur laut ibu kota Sri Lanka, Colombo. – AP
    Kanak-kanak di kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan perpustakaan, Dasanayaka mendapat idea untuk membuat perpustakaan bergeraknya dengan motosikal yang dikenali sebagai Book and Me. – AP
    Dasanayaka, 32, menunggang motosikalnya, yang dipasang dengan kotak besi untuk menyimpan buku berjalan mengelilingi kawasan perkampungan untuk mengongsikan buku-buku bersama kanak-kanak secara percuma. – AP

    Programnya berpusat di Kegalle, sebuah wilayah pergunungan di negara kepulauan India sekitar 85 kilometer di timur laut Sri Lanka, Colombo, dengan perkampungan miskin di ladang teh.

    Dia mengunjungi kampung-kampung sekali atau dua kali seminggu untuk mengedarkan buku-buku tersebut.

    Koleksinya merangkumi sekitar 3,000 buku mengenai pelbagai subjek.

    “Kanak-kanak lelaki kebanyakannya suka membaca cerita detektif seperti Sherlock Holmes, sementara kanak-kanak perempuan lebih suka membaca novel dan biografi remaja,” katanya.

    Setakat ini, katanya, programnya telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 kanak-kanak dan sekitar 150 orang dewasa.

    Dia memulakan program ini pada tahun 2017 dengan 150 buah buku, sebahagian miliknya sendiri dan yang lain disumbangkan oleh rakan-rakan sekerja dan orang lain.

    Dia membeli motosikal jenama Honda terpakai dengan harga 30,000 rupee Sri Lanka (AS$162). Dia kemudian meletakkan kotak besi di tempat duduk belakang motosikal.

    “Saya ingin melakukan sesuatu untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan pendidikan untuk peperiksaan mereka dan untuk mengubah cara mereka memandang masyarakat, mengubah perspektif mereka serta memperluaskan jangkauan bacaan mereka,” katanya.

    Selain memberikan buku, Dasanayaka juga bercakap dengan kanak-kanak selama beberapa minit, biasanya di bawah pokok pinggir jalan, dengan menekankan nilai membaca, buku dan pengarang.

    Dia kemudian melakukan perbincangan mengenai buku-buku yang telah dibaca oleh kanak-kanak, dengan tujuan untuk membentuk satu kelab membaca.

    Programnya juga dilihat semakin berkembang ke lebih dari 20 kampung di Kegalle.

    Dia juga telah memperluaskannya ke beberapa kampung di bekas zon perang saudara Sri Lanka di wilayah utara, lebih dari 340 kilometer (211 batu) dari rumahnya.

    Perang saudara yang panjang berakhir pada tahun 2009 ketika tentera kerajaan mengalahkan pemberontak Tamil yang berjuang untuk mewujudkan sebuah negara yang terpisah untuk etnik minoriti mereka di utara.

    Dasanayaka, yang berasal dari etnik Sinhala, percaya buku dapat membina ‘jambatan antara dua kumpulan etnik.’

    “Buku boleh digunakan untuk kemajuan masyarakat dan mendorong perdamaian etnik kerana buku merupakan satu jambatan ilmu untuk masyarakat terus berkembang,” katanya.

    Dia juga telah mendirikan perpustakaan mini di persimpangan beberapa kampung yang dikunjunginya, memberi kanak-kanak dan orang dewasa tempat untuk berkongsi buku.

    Ini melibatkan pemasangan kotak keluli kecil yang dapat dibuka dari satu sisi ke dinding atau di atas tempat duduk. Sejauh ini, dia telah membangunkan empat kemudahan tersebut dan berharap dapat mendirikan 20 lagi di kampung lain.

    Walaupun Dasanayaka menghabiskan wangnya sendiri untuk program itu, dia tidak kaya, dengan pendapatannya hanya 20,000 rupee (AS$108) sebulan dari pekerjaannya.

    Dia mengatakan bahawa dia menghabiskan sekitar seperempat daripada pendapatannya untuk minyak perpustakaan bergeraknya itu.

    Dia tinggal bersama isterinya, yang juga kakitangan kerajaan, dan dua anak mereka.

    “Saya menjalani kehidupan yang sederhana,” katanya.

    “Tidak ada harapan besar, dan saya tidak mengejar nilai material seperti rumah dan kereta besar.”

    Nuwan Liyanage, timbalan pengurus besar kanan stesen radio tempatan Neth FM, menganggap Dasanayaka sebagai ‘pahlawan zaman ini’.

    Stesen ini telah membantu Dasanayaka mengumpulkan buku. “Dia telah memberikan contoh baik bagi masyarakat,” kata Liyanage.

    “Dengan sumber daya yang sangat sedikit, dia telah melakukan hal-hal luar biasa, dan projeknya telah membuka mata ramai orang untuk melakukan hal yang serupa.”

    Mohomed Haris Shihara, 48, seorang guru sekolah asuhan di kampung Kannantota, sekitar 20 kilometer (12 batu) dari rumah Dasanayaka, memuji program itu, dengan mengatakan bahawa ia telah memberi manfaat kepada sekitar 100 kanak-kanak di kampungnya.

    “Ini adalah perkara yang baik dan telah membantu mengembangkan minat di kalangan anak-anak untuk membaca buku,” katanya.

    “Juga, perbincangan susulan mengenai buku-buku telah meluaskan pengetahuan anak-anak.”

    Dasanayaka mengatakan bahawa dia tidak mencari keuntungan dari programnya.

    “Satu-satunya kebahagiaan saya adalah melihat kanak-kanak membaca buku, dan saya akan senang mendengar bahawa buku membantu mengubah hidup mereka,” katanya. “Dan itulah kebahagiaan utama saya.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda