Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 9 DIS – Bertepatan dengan Kempen Hari Bertindak 2024 bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Tutong turut tidak ketinggalan dengan mengungkayahkan pertandingan mewarna di Perpustakaan DBP Daerah Tutong kelmarin.
Pertandingan berkenaan dibuka kepada kanak-kanak dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori A yang berumur 6 hingga 8 tahun dan Kategori B berumur 9 hingga 11 tahun.
Secara keseluruhannya, seramai 30 orang kanak-kanak telah menyertai pertandingan tersebut menyerlahkan daya kreativiti mereka dengan mewarna lukisan berupa tugu-tugu kenangan di Negara Brunei Darussalam seperti Mercu Tanda Kenangan dan Pusing Keliling Teko.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksi kemeriahan acara berkenaan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.
Turut hadir bagi mengalu-alukan tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Acara berkenaan turut diselajurkan dengan sesi penyampaian sumbangan Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong kepada lima orang penerima terpilih yang terdiri daripada anak-anak kepada Allahyarham Fariq bin Haji Mohammad Noor Afroh Ali Saed dan penyerahan disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Dalam pada itu, Perpustakaan DBP Daerah Tutong juga menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti kuiz, uji minda, teka jumlah buku serta pelbagai kegiatan perpustakaan seperti pameran, jualan produk, makanan dan minuman yang melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Pusat Bahagia Daerah Tutong, majlis-majlis perundingan kampung serta peniaga-peniaga kecil tempatan.
Turut sama menjayakan acara berkenaan ialah ahli-ahli remaja Perpustakaan DBP Daerah Tutong.
Dengan adanya penganjuran acara pertandingan sedemikian, pihak Perpustakaan DBP Daerah Tutong berharap agar orang ramai agar terus memanfaatkan musim cuti penggal persekolahan dengan menyokong aktiviti atau kegiatan anjuran perpustakaan, agensi-agensi kerajaan dan swasta di negara ini.



