Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan Khalidi bukti sejarah kewujudan Palestin

    BAITULMAQDIS – Sebuah perpustakaan di Baitulmaqdis timur yang dirampas oleh Israel menawarkan gambaran yang jarang berlaku mengenai sejarah Palestin dengan koleksi manuskrip berusia ratusan tahun sebelum Israel menduduki secara haram.

    Di Perpustakaan Khalidi di Kota Lama yang dikelilingi tembok ini, Rami Salameh memeriksa manuskrip yang rosak dengan teliti sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan dan mendigitalkan dokumen-dokumen sejarah Palestin.

    “Manuskrip-manuskrip ini terdiri daripada ilmu fiqah hingga ke ilmu falak, biografi Nabi (Muhammad SAW) dan Al-Quran,” kata pemulih terlatih Itali itu sambil dengan berhati-hati mengendalikan berus kering ke atas teks yang rapuh mengenai tatabahasa Bahasa Arab.

    Dari bengkel kecilnya, dia menghembuskan nafas lega, menyimpulkan bahawa tidak perlu merawat dokumen berusia 200 tahun itu yang telah bertukar warna akibat pengoksidaan.

    Bekerja sendirian, Rami telah memulihkan 1,200 muka surat daripada berpuluh-puluh manuskrip milik perpustakaan persendirian Palestin sejak dua setengah tahun lalu.

    Khader menunjukkan surat yang ditulis oleh Rawhi Al-Khalidi yang merupakan konsul untuk empayar Uthmaniyyah yang berasal dari keluarga Al-Khalidi yang menubuhkan perpustakaan tersebut. – Gambar AFP
    Rami semasa bekerja di makmal pemulihan manuskrip di perpustakaan Khalidi di Kota Lama Baitulmaqdis pada 17 Jun. – Gambar AFP
    Penduduk Palestin berjalan melepasi perpustakaan Khalidi di kota lama Baitulmaqdis baru-baru ini. – Gambar AFP
    Shaimaa semasa ditemui media di perpustakaan Khalidi di kota lama Baitulmaqdis pada 20 Jun. – Gambar AFP

    Barang-barang tersebut ada yang berusia 300 tahun, iaitu pada zaman Uthmaniyyah.

    Majoriti manuskrip berkenaan berasal dari Perpustakaan Khalidi itu sendiri, yang merupakan koleksi peribadi terbesar manuskrip Bahasa Arab dan Islam di wilayah Palestin.

    Juga di rak-raknya terdapat buku-buku Parsi, Jerman dan Perancis, termasuk koleksi yang mengagumkan tulisan penulis Perancis, Victor Hugo.

    Imbasan sejarah

    Terletak di Kota Lama berhampiran salah satu pintu masuk ke perkarangan masjid Al-Aqsa, perpustakaan itu diasaskan oleh hakim Palestin, Raghib Al-Khalidi pada tahun 1900.

    Dari bangunan utamanya yang menghadap Tembok Barat, tempat yang paling suci di mana orang Yahudi bersembahyang, sultan-sultan yang berperang dilaporkan memainkan peranan dalam membebaskan Baitulmaqdis daripada tentera Salib pada abad ke-12 dan ke-13.

    Koleksi itu mengandungi buku-buku, surat-surat, dekri Uthmaniyyah dan surat khabar, termasuk dokumen-dokumen daripada keluarga Khalidi yang berpengaruh.

    Ia menawarkan pemandangan yang kaya dengan kehidupan masa lampau di kota suci ini, dengan buku paling tua berasal dari abad ke-10.

    “Kami mempunyai manuskrip yang bercakap tentang status budaya dan sosial penduduk Baitulmaqdis, dan ini merupakan petunjuk kehadiran rakyat Palestin di sini selama beratus-ratus tahun,” kata pustakawan Khader Salameh, bapa pemulih yang menguruskan koleksi itu.

    “Kandungan di perpustakaan ini menafikan dakwaan Zionis bahawa negara ini adalah kosong,” tambahnya, merujuk kepada dakwaan umum bahawa tanah itu tidak berpenghuni sebelum penubuhan Israel pada 1948 dan pengusiran lebih daripada 750,000 rakyat Palestin.

    Keluarga-keluarga Palestin dan institusi di timur Baitulmaqdis sering diusir untuk memberi laluan kepada penempatan haram Israel sejak ia menawan dan menguasai kawasan tersebut, termasuk Kota Lama, dalam Perang Enam Hari pada 1967 – langkah yang dianggap sebagai tidak sah oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa.

    Sebahagian daripada perpustakaan itu telah dirampas oleh penempatan Israel untuk membina sebuah sekolah agama Yahudi, keluh pustakawan itu.

    Pihak pentadbiran perpustakaan itu telah lama berjuang daripada segi undang-undang untuk menentang penempatan itu, tetapi tidak berjaya menghalang rampasan sebahagian daripadanya.

    Khader berkata keputusannya mungkin menjadi lebih buruk, dan keseluruhan harta benda diambil oleh penempatan Israel, sekiranya bukan kerana sokongan yang mereka terima.

    “Para intelek Israel menyokong pihak pentadbiran perpustakaan dan memberikan keterangan di mahkamah yang memihak kepada kami,” katanya.

    Manuskrip yang sensitif

    Sejak itu, perpustakaan berkenaan terus mengekalkan warisan budaya di Baitulmaqdis melalui pemulihan dan pendigitalan, dengan sokongan daripada organisasi tempatan dan antarabangsa.

    “Kami merekodkan dokumen-dokumen dengan ketepatan yang sangat tinggi tanpa mendedahkan kertas kepada cahaya, kerana manuskripnya sangat sensitif, dan kami mahu memeliharanya selama mungkin,” kata Shaimaa al-Budeiri, seorang pegawai arkib digital.

    Dikelilingi oleh ratusan buku dan peralatan di pejabatnya, dia membersihkan muka surat sebelum meletakkannya rata untuk mengambil gambar dan memuat naik imej-imej tersebut ke komputernya.

    Sehingga kini, Shaimaa telah merekodkan sekitar 2.5 juta muka surat manuskrip, surat khabar, buku-buku yang jarang ditemui dan dokumen-dokumen lain daripada empat perpustakaan persendirian di Baitulmaqdis.

    Beliau berkata pendigitalan adalah cara ke hadapan, kerana ia membolehkan para penyelidik mengakses ke arkib perpustakaan dari jarak jauh.

    Mereka berharap untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk kerja-kerja pemulihan untuk membeli bekalan dan peralatan yang mahal, termasuk kotak penyimpanan bebas asid.

    Mereka juga ingin mengubahsuai bengkel untuk melindunginya daripada kelembapan yang mengancam kerja mereka dengan manuskrip yang sensitif.

    Shaimaa berkata cintanya terhadap buku yang mendorong minatnya dalam kerjanya.

    “Jika saya melihat seseorang memegang buku dengan cara yang kasar, saya rasa seperti buku itu sedang berada dalam kesakitan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda