Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan percuma tanpa peraturan

    LELAKI bertubuh kurus dan berambut putih itu kelihatan terbongkok-bongkok menyusun buku di atas rak yang terletak di luar rumahnya. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara riang sekumpulan kanak-kanak yang singgah ke situ untuk meminjam buku daripadanya.

    Sambil tersenyum melihat gelagat anak-anak kecil itu, lelaki tersebut membelek-belek helaian muka beberapa buah koleksi buku terbaharu sebelum menghulurkannya kepada mereka. Begitulah rutin harian Hernando Guanlao, 60an sejak 17 tahun lalu selepas dia menukar wajah teratak usangnya menjadi perpustakaan awam.

    Terletak di Balagtas Street, Barangay La Paz, Makati, Filipina, perpustakaan awam itu menjadi syurga bagi masyarakat setempat khususnya kanak-kanak yang kebanyakannya tidak bersekolah kerana masalah kesempitan wang.

    Tiada peraturan

    “Sebagai seorang rakyat Filipina yang tidak berpeluang ke tempat-tempat lain, saya ingin mengusahakan sesuatu yang boleh memanfaatkan orang ramai sebelum umur saya mencapai 70 tahun dan hanya melalui buku saya dapat berbuat demikian.

    Hernando Guanlao telah menukar wajah teratak usangnya menjadi perpustakaan awam untuk kunjungan orang ramai dan menawarkan perkhidmatan pembacaan secara percuma.
    Hernando Guanlao telah menukar wajah teratak usangnya menjadi perpustakaan awam untuk kunjungan orang ramai dan menawarkan perkhidmatan pembacaan secara percuma.

    m10 Buku - 3_070217

    “Menerusi buku, saya dapat membawa kegembiraan dan membantu mereka agar tidak berasa ketinggalan. Saya rasa buku-buku ini seperti cuba menyampaikan sesuatu. Ia seolah-olah berkata, kami mahu dibaca dan dikongsi bersama orang sekeliling,” katanya seperti dipetik portal BBC News.

    Guanlao berkata, orang ramai yang ingin meminjam buku dari perpustakaan rumahnya boleh mengambil seberapa banyak naskhah yang dikehendaki tanpa perlu meminta kebenaran atau mengisi apa-apa borang. Menurut pesara akauntan itu, mereka juga boleh memulangkan buku-buku tersebut bila-bila masa sahaja tanpa perlu mengikut tempoh masa tertentu.

    “Premis ini dibuka 24 jam, tujuh hari seminggu. Penduduk di sini boleh meminjam dan memulangkan buku sesuka hati mereka. Tiada sebarang peraturan di sini. Jika mereka mahu menyimpan buku tersebut selama-lamanya pun tidak mengapa. Saya tidak berkira kerana saya tahu mereka memerlukan buku tersebut,” tambahnya lagi. Cerita Guanlao, idea untuk menukar rumahnya menjadi perpustakaan awam tercetus selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dia.

    Bot buku

    “Saya tercari-cari cara untuk menzahirkan memori bersama ibu bapa saya. Kemudian saya terfikir ia mungkin dapat dibuat dengan menyebarkan kecintaan mereka terhadap buku,” ujarnya. Guanlao yang digelar Nanie oleh masyarakat setempat pada mulanya menghimpunkan buku-buku teks lama kepunyaannya untuk dijadikan bacaan umum.

    m10 Buku - 2_070217

    m10 Buku - 4_070217

    m10 Buku - 5_070217

    Koleksi itu kemudiannya semakin bertambah hari demi hari sehingga Guanlao tidak dapat mengagak jumlah buku yang dimiliki sekarang.

    Bermula dengan sudut membaca kecil-kecilan, Guanlao kini mampu tersenyum bangga melihat perpustakaan mini yang menempatkan antara 3,000 hingga 4,000 naskhah buku pelbagai judul di luar rumahnya. Dinamakan Reading Club 2000, premis itu didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak sehinggalah pelancong asing yang berkunjung ke kampungnya.

    “Mungkin ada yang khuatir buku-buku ini berisiko untuk dicuri kerana diletakkan di luar rumah, namun ia tidak berlaku sedemikian sebaliknya lebih ramai orang datang untuk menderma koleksi buku mereka. Hampir setiap minggu, saya akan mendapat kotak-kotak besar berisi buku, majalah dan pelbagai bahan bacaan lain,” katanya.

    Guanlao berharap suatu hari nanti dia dapat meluaskan perpustakaan itu ke lokasi lain selain mahu menambah baik kemudahan tersebut untuk manfaat bersama.

    “Jika umur masih panjang, saya juga berhasrat untuk membuat perpustakaan bergerak dan bot buku dengan menjelajah sekeliling kepulauan Sulu dan Basilan,” ujarnya.

    Filipina merupakan antara negara yang memiliki kadar literasi tertinggi di Asia dengan 97.5 peratus daripada 100 juta populasi penduduknya boleh menulis dan membaca. Meskipun demikian, masih terdapat ramai kanak-kanak yang tidak bersekolah kerana perlu membantu keluarga menambah pendapatan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda