Penyanyi Andi Bernadee menganggap isu melancarkan lagu raya di awal bulan Ramadan sebagai satu norma biasa dalam perniagaan dunia hiburan.
Kata Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 34, pelancaran awal dibuat bagi memberi pilihan kepada pendengar selain persaingan sengit melibatkan lambakan lagu raya yang dilancarkan tahun ini.
“Bagi kami sebagai penyanyi, perkara ini seperti bisnes. Bila kita lancarkan lagu raya awal, sebelum raya pendengar sudah tahu nak pilih lagu apa. Persaingan sangat hebat, tahun ini sahaja hampir 40 buah lagu dilancarkan.
“Mana faham akan faham, mana yang tidak, kita minta maaf,” katanya kepada mStar.
Andi berkongsi perkara itu sebagai respons kepada pendapat Waheeda mengatakan tindakan melancarkan lagu bertemakan Aidilfitri sejak minggu pertama Ramadan seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan tersebut.
Pun begitu, Andi tidak menafikan apa yang dikatakan oleh Waheeda itu ada kebenarannya kerana Ramadan hanya diraikan setahun sekali dan perlu dihayati dengan memperbanyakkan amal ibadah.
“Saya rasa apa yang dikatakan olehnya ada benar juga. Sekarang ini kita di bulan Ramadan jadi kita kena hormati bulan mulia ini. “Janganlah kita keluarkan lagu raya awal sangat sebab kita nak menikmati Ramadan yang cuma datang sekali setahun sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Waheeda mengingatkan agar artis tidak terlalu ghairah mempromosikan lagu raya sehingga terlupa tentang keindahan Ramadan.
Malah penyanyi lagu Wassini ini meminta golongan artis menukar pemikiran mereka tentang mempromosikan lagu masing-masing dan yakin terhadap rezeki daripada Allah. – Agensi
