Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Pasukan Limbang FA menarik nafas lega apabila pulang dengan kemenangan mutlak menewaskan pasukan PTK FT pada perlawanan penuh dramatik persaingan bola sepak Liga Jemputan merebut Piala Lela Cheteria dengan kedudukan 4-3 di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong, kelmarin.
“Perlawanan sangat menarik. Kedua-dua pasukan berjaya memperlihatkan permainan yang sengit dan kami bernasib baik memperolehi kemenangan pada saat akhir perlawanan”,jelas ketua jurulatih pasukan Limbang FA, Bulhaji Wahab.
Katanya, pemain-pemain berjaya mengubah permainan selepas berjaya mendahului lawan dengan 3-1 namun kebangkitan pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan sebelum pemain bersungguh-sungguh mendakap mata penuh.
Pasukan PKT FT lebih awal membuat kejutan apabila berjaya merobek gawang Limbang FA menerusi rembatan jarak jauh oleh Md Ismail Hossain di minit ke-10 namun Limbang FA yang bagaikan lambat panas berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-28.
Perlawanan semakin mendebarkan di babak kedua apabila Md Farihin sekali lagi membawa pasukan Limbang FA di depan menerusi sentuhan jaringan diminit ke-58.
Ketinggalan jaringan langsung tidak menghampakan rentak pemain PKT FT sekalipun hampa ketika Bayu Eka Maulana gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Kehampaan itu terubat juga apabila beliau berjaya merapatkan kedudukan di minit ke-87 dan Md. Fakrul Radzi berjaya menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada masa kecederaan.
Kegembiraan itu bagaimanapun berjaya diragut oleh jaringan pemain lincah Limbang FA, Brayan Junior Mcbewshermd menjadikan kedudukan 4-3 beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.
“Kami terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya berkongsi kedudukan. Namun inilah bola sepak, kami akur dengan kekalahan ini tetapi kami akan bertekad untuk bangkit pada perlawanan seterusnya,” ujar ketua jurulatih PKT FT, Sapolirizal Samail
Sementara itu, pasukan Miri FA membelasah pasukan Supastrikas FT dengan 6-0 di Padang Arena, Seria.
Semua di atas: Antara aksi menarik semasa pasukan Limbang FA menentang pasukan PKT FT, kelmarin.- Gambar serahan Liga Bola Sepak Jemputan merebut Piala Lela Cheteria