LONDON, 4 April – Pemain tengah Manchester City, Fernandinho percaya pasukannya boleh menyemarakkan semula perebutan gelaran Liga Perdana mereka awal pagi Khamis ketika menentang Chelsea, yang digegarkan dengan kekalahan mengejut 2-1 menentang Crystal Palace.
Dengan kelebihan sepuluh mata ketika rehat antarabangsa, Chelsea menyaksikan jurang pendahuluan mata mereka dikurangkan kepada tujuh mata selepas tewas di laman sendiri kepada Palace pada Sabtu lalu dan pasukan tangga kedua, Tottenham Hotspur melakarkan kemenangan 2-0 di Burnley.
City tidak dapat mengekori pendahuluan Spurs, setelah seri 2-2 di Arsenal pada Ahad lalu, tetapi kemenangan di Stamford Bridge akan meletakkan mereka lapan mata di belakang Chelsea dengan berbaki lapan perlawanan musim ini.
“Persaingan Liga Perdana masih lagi terbuka,” Ferdinandinho memberitahu laman sesawang City.
“Kami melalui perlawanan sukar menentang Chelsea di gelanggang luar. Untuk merapatkan kedudukan mereka, kami perlu memenangi perlawanan itu dan akan menyaksikan apa yang akan berlaku pada akhir musim.”

Chelsea bangkit dari belakang untuk mencatatkan kemenangan klinikal 3-1 apabila kali terakhir kedua buah pasukan itu bertemu di Stadium Etihad pada Disember lalu.
Tetapi ketika pasukan kendalian Antonio Conte masih lagi menjadi pasukan pilihan bagi memenangi gelaran, kegagalan untuk menewaskan City akan memberikan harapan kepada pasukan–pasukan yang menghabiskan sebahagian besar musim ini mengejar mereka.
Chelsea gagal untuk menghindarkan kekalahan menentang Palace, biarpun dengan kekuatan pasukan penuh dan menguasai hampir 80 minit untuk menukar perlawanan.
Namun, walaupun pasukan pesaing berharap Chelsea tergelincir lagi ketika menentang pasukan kendalian Pep Guardiola, Conte menggesa pemainnya untuk memikirkan tekanan tersebut dalam kedudukan yang positif.
“Terdapat tekanan yang besar, tetapi ia adalah biasa apabila anda berada dalam sebuah kelab yang hebat dan anda adalah bagus,” pengurus Chelsea itu memberitahu laman sesawang kelab itu. – AFP