Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Persaingan tiga penjuru rebut jawatan presiden

    COLOMBO, 19 JULAI – Tiga orang calon telah dinamakan hari ini bagi menggantikan bekas presiden Sri Lanka, Gotobaya Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara itu dan telah meletak jawatan pada minggu lalu susulan krisis ekonomi paling buruk dialami negara itu.

    Calon yang akan memenangi pemilihan akan mengambil alih sebuah negara yang bankrap, yang sedang dalam rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pinjaman ketika 22 juta rakyat negara itu menderita dengan kekurangan bekalan makanan, minyak dan ubat-ubatan.

    Parlimen mengumumkan pemangku presiden, Ranil Wickremesinghe akan bersaing dengan bekas menteri pendidikan, Dullas Alahapperuma – yang mendapat sokongan daripada parti pembangkang – dan pemimpin berhaluan kiri, Anura Dissanayake dalam pemilihan secara rahsia esok.

    Ketiga-tiga calon tersebut telah dicalonkan secara rasmi oleh penggubal undang-undang dalam sesi yang diadakan kurang 10 minit di bangunan parlimen yang dikawal ketat.

    Terdahulu, pemimpin pembangkang, Sajith Premadasa mengumumkan melalui Twitter bahawa dia menarik diri daripada persaingan tersebut bagi menyokong Alahapperuma, ahli pembangkang parti SLPP Rajapaksa.

    “Demi kebaikan negara, saya mengumumkan pengunduran pencalonan saya dalam jawatan presiden,” kata Premadasa.

    Sumber politik mengatakan kedua-dua mereka telah mencapai perjanjian semalaman untuk salah seorang daripada mereka untuk menjadi presiden dan seorang lagi menjadi perdana menteri serta berusaha untuk membentuk kerajaan pakatan bagi mengemudi negara mengharungi krisis ekonomi terburuk.

    Calon ketiga, Anura Dissanayake, 53, adalah pemimpin haluan kanan Barisan Pembebasan Rakyat (JVP), yang mempunyai tiga kerusi dalam parlimen.

    Calon berharap keempat, bekas ketua tentera Sarath Fonseka, gagal meraih sokongan daripada penggubal undang-undang untuk menyertai persaingan jawatan presiden.

    Pemimpin baharu akan dilantik bagi baki penggal Rajapaksa, yang akan berakhir pada November 2024.- AFP

    Para penunjuk perasaan melaungkan slogan menentang presiden sementara Sri Lanka semasa protes di hadapan sebuah stesen kereta api di Colombo, kelmarin. Ranil Wickremesinghe akan berdepan saingan daripada dua pencalonan untuk merebut jawatan presiden baharu.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...