(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Satu
Pada dasarnya perkara korban dan aqiqah mempunyai banyak persamaan, cuma dalam beberapa perkara sahaja mempunyai perbezaan. Antara titik persamaan yang jelas di antara korban dan aqiqah itu ialah dari segi hukum melaksanakannya. Hukum melakukan korban dan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut).
Selain itu, korban dan aqiqah mempunyai persamaan daripada segi jenis dan umur binatang yang boleh dijadikan korban dan aqiqah, keselamatannya daripada ‘aib (kecacatan), cara pembahagian daging, penerima daging, hukum memindahkan daging ke luar negeri, hukum melakukan keduanya di luar negeri, hukum berkongsi binatang dengan niat berbeza dan larangan menjual daging korban dan aqiqah. Penjelasannya adalah seperti berikut:
Jenis binatang
Binatang yang sah disembelih menjadi korban, berserta syarat-syaratnya, juga sah disembelih menjadi aqiqah. Binatang yang dimaksudkan ialah unta dan lembu atau seumpamanya seperti kerbau dan kambing atau seumpamanya.
Umur binatang
Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan ibadat korban itu mestilah cukup umur. Daripada Jabir r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Jangan kamu menyembelih binatang korban melainkan musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah jadza‘ah daripada biri-biri.” (Hadis riwayat Muslim)

Musinnah itu ialah ats-tsaniyyah (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan daripada unta, lembu dan kambing. Manakala jadza‘ah pula ialah anak kambing biri-biri yang berumur enam bulan hingga satu tahun. Maka secara ringkas, jenis binatang dan ukuran minimum (had paling rendah) umur bagi binatang yang hendak dibuat korban dan aqiqah itu ialah:
Unta lima tahun, lembu dua tahun, kerbau dua tahun, kambing dua tahun, kibasy satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan.
Selamat daripada ‘aib (kecacatan)
Binatang korban itu mestilah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau ‘aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan.
Sabda Rasulullah mengenai perkara ini yang maksudnya:
“Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada hadis di atas, dapat difahami bahawa binatang yang tidak boleh dijadikan binatang korban itu ialah:
Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dijadikan korban.
Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.
Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka ia sah dibuat korban.
Binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.
Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semulajadi, kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya walaupun sedikit. Adapun yang tidak bertanduk atau patah tanduknya adalah sah dijadikan korban.
Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semula jadi adalah sah dibuat korban. Tidak memadai yang terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya.
Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban.
Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban. Manakala binatang yang tidak mempunyai zakar atau yang dikebiri adalah sah dijadikan korban.
Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan aqiqah pula, juga disyaratkan selamat daripada kecacatan sama seperti binatang korban sebagaimana yang diterangkan di atas.
Pembahagian daging
Dalam korban sunat terdapat tiga pembahagian, iaitu:
Bahagian yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin.
Bahagian yang sunat diambil dan disimpan oleh orang yang berkorban sendiri, akan tetapi menyedekahkan kesemuanya adalah afdhal, kecuali sedikit untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan daripadanya khususnya hati binatang tersebut.
Bahagian yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya seperti kaum keluarga, sahabat handai dan seumpamanya.
Cara pembahagian daging aqiqah sunat pula tidak ada bezanya dengan cara pembahagian daging korban sunat di atas.
Namun jika korban dan aqiqah tersebut adalah yang wajib, seperti korban dan aqiqah yang dinazarkan atau yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang, maka wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir miskin.