Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 14 JAN – Ketika Istiadat Perarakan Pengantin Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam menarik ribuan rakyat dan penduduk ke jalan-jalan di ibu negara, lebih ramai lagi dapat menyaksikan acara bersejarah itu menerusi penstriman langsung di seluruh negara.
Ahli-ahli keluarga berkumpul di hadapan televisyen dengan penuh semangat menyaksikan peristiwa bersejarah itu berlangsung.
Salah seorang ahli keluarga, Dayang Suraya binti Haji Salleh menyatakan bahawa walaupun dia tidak dapat menghadiri perarakan secara fizikal, dapat menontonnya secara langsung menerusi televisyen adalah alternatif yang bagus.
“Paling penting, ia membantu memberikan generasi sekarang gambaran dan pemahaman tentang adat dan tradisi perkahwinan diraja Brunei,” ujarnya.
Hajah Sauyah binti Haji Matdon turut berkongsi bagaimana beliau dapat menyaksikan detik bersejarah itu secara langsung.
“Melihat pasangan pengantin bak pinang dibelah dua dalam busana anggun, melalui upacara bersanding dengan adat kebesaran diraja dipamerkan, menunjukkan betapa adat lama Brunei itu tetap berakar umbi dalam tradisi kita,” kongsi beliau.
Kedua-duanya merafakkan sembah tahniah kepada pasangan pengantin diraja sempena majlis yang penting itu.