Thursday, March 20, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin beroperasi semula di hospital

    GAZA, 20 MAC – Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) beroperasi semula di Hospital Al-Quds di kejiranan Tal al-Hawa, barat Bandaraya Gaza kelmarin, selepas hospital itu dibom dan dimusnahkan semasa pencerobohan Israel pada November 2023.  

    Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), hospital itu mengumumkan bahawa ia akan mula menerima pesakit yang cedera, sakit serta pelawat mulai Jumaat depan pada 9 pagi, walaupun mengalami kerosakan.  

    Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Kecemasan Gaza, mengambil kira keperluan mendesak untuk perkhidmatan perubatan di Gaza dan utara Gaza dalam krisis semasa.   Pasukan perubatan dan pentadbiran telah bekerja selama beberapa minggu untuk memulihkan hospital itu di tengah-tengah kekurangan peralatan dan bekalan perubatan yang kritikal.  

    Hospital itu dilengkapi dua bilik bedah, jabatan kecemasan, kawasan penerimaan dan klinik pesakit luar, selain pengaktifan unit rawatan rapi serta jabatan diagnostik seperti radiologi dan makmal, bagi memastikan penyediaan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.

    Pasukan pendudukan Israel telah mengepung Hospital Al-Quds selama beberapa minggu, menghalang kakitangan perubatan dan bekalan daripada masuk sehingga operasi hospital terhenti sepenuhnya.  

    Kawasan sekitar hospital itu turut dibom yang memusnahkan sebahagian besar hospital dan merosakkan jabatan kecemasan serta makmal.  

    Anggota PRCS terus berusaha memulihkan hospital itu di sebalik kemusnahan yang berlaku, dan berjaya memulihkan beberapa jabatan penting, membolehkan perkhidmatan perubatan disambung semula.  

    PRCS menegaskan bahawa pembukaan semula hospital itu mengesahkan komitmennya untuk menyediakan penjagaan kesihatan kepada penduduk Gaza walaupun berdepan pelbagai cabaran. – Bernama/Wafa  

    Suasana sekitar Hospital Al-Ahli di Kota Gaza pada 18 Mac. Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah beroperasi semula di Hospital Al-Quds. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda