Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 29 JAN – Sebagai persediaan untuk sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang akan datang sekali gus menyambut Tahun Naga, Persatuan Foochow Daerah Belait telah menganjurkan upacara membangunkan singa pada 27 Januari lalu.
Hadir menyaksikan acara itu ialah pengerusi persatuan, Tan Tei Tei yang diiringi pengerusi tetap kehormat, naib pengerusi, serta ahli-ahli persatuan dan keluarga.
Upacara itu merupakan tradisi tahunan di mana mata, hidung, telinga, mulut dan badan kostum singa dilukis yang menandakan singa dihidupkan untuk majlis perayaan berkenaan.
Selain itu, reben merah diikat pada tanduk setiap kostum singa sebagai simbol keberanian dan kehormatan. Ia juga sebagai peringatan kepada singa bagi melakukan kebaikan.
Dalam memperingati Tahun Naga, persatuan itu turut menyediakan seekor naga Cina yang turut mendapat layanan yang sama seperti singa kerana ia akan mengiringi rombongan tersebut semasa aktiviti Tarian Singa.
Bagi memeriahkan lagi suasana majlis, dua orang ahli persatuan turut berpakaian seperti Cai Shen Yeh bagi mengagihkan Ponkan atau oren Mandarin kepada hadirin dengan harapan dapat membawa rezeki dan kesihatan kepada persatuan dan keluarga.