Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 13 OKT – Lebih 100 ahli Persatuan Foochow Belait termasuk rakan dan keluarga meraikan Festival Pertengahan Musim Luruh, semalam, di bangunan persatuan tersebut yang terletak di Jalan Bunga Simpur dan Jalan Bunga Raya, Kuala Belait.
Hadir dan sekali gus menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara tersebut ialah Pengerusi Persatuan Foochow Belait, George Wong.
Dalam ucapannya beliau berkata, “Matlamat perayaan malam ini adalah untuk membantu anak-anak kita memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya dan intipati tradisional Cina.”
Beliau menyifatkan festival tersebut sebagai peluang untuk pertemuan semula keluarga, bagi mewujudkan rumah tangga harmoni yang membawa kedamaian dan kebahagiaan kepada semua orang.
Sementara itu pengerusi penganjur perayaan itu, Selency Hwong, juga berkongsi pandangan yang sama, “Akan ada masa di mana kami akan merindui keluarga dan orang tersayang, tetapi apabila Festival Pertengahan Musim Luruh diadakan setahun sekali, ia mengingatkan diri kami tentang kepentingan meluangkan masa bersama dalam kegembiraan dan keharmonian.”



Selepas ucapan, ia kemudiannya diteruskan dengan acara makan malam dihidangkan bersama kuih bulan yang ikonik.
Acara turut diserikan lagi dengan permainan interaktif dan aktiviti bertemakan festival berkenaan termasuk cabutan bertuah.
Salah satu acara utama sambutan itu ialah pertandingan membuat tanglung kertas, dengan peserta menyerahkan tanglung kertas buatan tangan mereka dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Acara diakhiri dengan penyempurnaan penyampaian hadiah daripada persatuan berkenaan kepada para pemenang dan peserta pertandingan.

