Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Dalam usaha untuk menghulurkan khidmat bakti, membantu mereka yang memerlukan serta untuk menya-hut seruan bagi menambah simpanan darah, Persatuan Fuzhou Shiyyi mengadakan Kegiatan Amal Menderma Darah dengan kerjasama Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang berlangsung di Pejabat D’Sunlit Sdn Bhd, Perindustrian Beribi, kelmarin.
Kempen menderma darah itu disertai oleh bukan sahaja ahli-ahli persatuan tetapi juga kakitangan dari D’Sunlit di mana ia merupakan salah satu projek kebajikan persatuan dan untuk membantu menambah jumlah simpanan darah terutama semasa bulan Ramadan.
Kempen itu turut menyaksikan presiden persatuan, Jackson Ting menderma darah dan kempen yang bermula dari pukul 9 pagi berkenaan berjaya mengumpul lebih 50 pain darah.
Menurut salah seorang ahli jawatankuasa persatuan berkenaan, kegiatan amal itu adalah sebagai sebahagian daripada kegiatan untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat.
Ia juga merupakan kempen berterusan yang dikendalikan bagi 2017 dan diharap akan diadakan dalam masa yang terdekat lagi serta menyatakan hasrat untuk meneruskan usaha berkenaan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Pihak penganjur berharap menerusi sumbangan kecil itu, dapat membantu golongan yang memerlukan khususnya mereka yang memerlukan darah serta bagi menambah jumlah darah di tabung berkenaan.
