Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Dalam sama-sama memainkan peranan serta menyumbang kepada usaha menabur bakti kepada masyarakat khususnya dalam menambah bekalan darah, Persatuan Hokkien Brunei Darussalam telah mengadakan kempen menderma darah yang berlangsung di persatuan berkenaan di Kiulap, hari ini.
Kempen yang dianjurkan oleh Bahagian Belia, Persatuan Hokkien Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu menyaksikan kehadiran Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong serta Presiden Persatuan Hokkien Brunei Darussalam, Lim Han Chiong.
Ketua Bahagian Belia Persatuan Hokkien Brunei Darussalam, Chua Teng Kiat berkongsi bahawa persatuan berkenaan sering mengadakan kempen derma darah secara aktif tetapi disebabkan penularan gelombang kedua dan ketiga COVID, aktiviti berkenaan terpaksa ditangguhkan.
Beliau menerangkan lanjut bahawa persatuan itu mengadakan kempen derma darah sekurang-kurangnya empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan tetapi disebabkan oleh penularan COVID, mereka terpaksa memperlahankan aktiviti kebajikannya.
Namun dengan pengurangan sekatan dan keadaan semasa, mereka berharap untuk lebih kerap mengendalikan kempen derma darah berkenaan. Kempen itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana sebanyak 85 pain darah berjaya dikumpulkan daripada para penderma darah yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan, orang ramai serta diplomat dan kakitangan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.
