Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) cawangan Kiulap, hari ini, mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke-32 KACA yang berlangsung di cawangan berkenaan. Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin. Juga hadir ialah, Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman, ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan KACA, para penuntut Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) serta para ibu bapa dan penjaga. Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, bacaan Tahlil dan Solat Fardu Isyak berjemaah. Majlis tersebut merupakan antara aktiviti keagamaan Persatuan KACA bagi memberkati lagi penubuhan KACA yang ditubuhkan sejak tahun 1986.
Menurut kenyataan Persatuan KACA, persatuan ber-kenaan akan mengadakan beberapa aktiviti bagi tahun 2018-2019 antaranya Projek Menabung KACA Fasa ke-2 bagi tahun 2016-2020 iaitu selama lima tahun, diteruskan dengan Projek Homebased diperluaskan bagi tahun 2017/2018, program lawatan ibu bapa, sukarelawan dan kakitangan KACA ke pusat-pusat orang kelainan upaya di luar negara bagi tahun 2017/2018. Aktiviti-aktiviti berkenaan akan diteruskan dengan peraduan mewarna dan melukis di peringkat kebangsaan dan ASEAN sempena Ulang Tahun ke-32 Persatuan KACA 2018/2019.