Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 April – Bersempena Sambutan Hari Bumi, Persatuan Malayali (MA) telah mengendalikan aktiviti membersihkan kawasan pantai yang dimulakan dari kawasan Taman Riadah Jubli Emas Jalan Maulana, di sini.
Aktiviti tersebut yang disertai lebih 100 orang dalam kalangan ahli-ahli persatuan dan orang ramai telah berjaya mengumpulkan sejumlah 120 beg sampah-sarap.
Turut sama dalam aktiviti tersebut ialah Naib Presiden Persatuan Malayali, Tojo Jacob, Setiausahanya, Avinash Jayakumar, Pengerusi Eksekutif Taman Riadah Jubli Emas, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahamd dan lainnya.
Aktiviti dimulakan dengan acara walkaton bermula dari taman riadah berkenaan menuju ke kawasan pantai.

Tojo Jacob memberitahu, persatuan mereka akan terus komited dalam aktiviti-aktiviti berkebajikan terutamanya dalam kerjasama membersihkan alam sekitar seperti kawasan pantai dan sebagainya dan turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak berkenaan kerana telah melibatkan mereka dalam melakukan kerja sukarelawan seperti itu.
Kerja-kerja pembersihan kira-kira empat kilometer di sepanjang kawasan pantai tersebut turut melibatkan penyertaan kalangan kanak-kanak daripada anak-anak ahli persatuan tersebut.