Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa (IWD), Persatuan MAWAR turut tidak ketinggalan dalam mengadakan perkongsian bertajuk Wanita Berinovasi Pembangun Masa Hadapan, bertempat di salah sebuah restoran di Jalan Telanai, kelmarin.
Acara perkongsian yang telah dihadiri oleh seramai 40 orang termasuk ahli-ahli persatuan MAWAR itu telah disampaikan oleh Pengarah Nadi Quranic, Dayang Sukmawati Dewi.
Antara objektif utama perkongsian tersebut diadakan adalah untuk memberi inspirasi kepada para wanita bagi menyumbang kepada masyarakat melalui inovasi. Melalui perkongsian ini, para peserta diberikan ruang untuk bertukar pandangan dan pengalaman mengenai cara mengatasi cabaran dalam melaksanakan inovasi.
Diharapkan melalui acara ini, ia dapat memberi pengajaran dan inspirasi kepada para peserta untuk terus maju mengatasi cabaran dalam melaksanakan inovasi.
Persatuan MAWAR menggalakkan para peserta untuk mengenal pasti potensi masing-masing melalui aktiviti perbincangan. Ia adalah penting untuk perkembangan diri dan boleh digunakan bagi mengubah keluarga dan masyarakat ke arah kecemerlangan.



