Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 OGOS – Wanita yang terdiri daripada golongan belia hingga warga emas telah berpeluang untuk menonjolkan kreativiti dan kebolehan mereka dalam bidang kemahiran rumah tangga menerusi pertandingan dan pameran rumah tangga yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lembaga Bandaran, di Jalan Bunga Raya, Daerah Belait, kelmarin.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pertiwi Daerah Belait bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Penolong Pegawai Daerah Belait, Hajah Yuria Abyana binti Haji Ahmad dan disambut oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi, Dayang Fatimah binti Tanji.
Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Yuria Abyana telah menjelaskan bahawa pertandingan itu dibukakan secara eksklusif kepada para wanita yang menetap di Daerah Belait, termasuk ahli Persatuan Pertiwi.
Para peserta turut digalakkan untuk menghantar pelbagai penyertaan dalam jenis dan kategori berbeza untuk mengasah serta meningkatkan kemahiran rumah tangga masing-masing.



“Sebanyak 40 jenis pameran telah dipertandingkan, dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu 12 jenis dalam kategori Gubahan Bunga, tiga jenis dalam Jahitan dan Anyaman, sembilan jenis dalam Masakan, 13 jenis dalam Kuih-Muih Tradisional dan tiga jenis Gubahan Bunga Segar,” ujar beliau.
Semua hasil pameran telah disediakan dan dihasilkan sendiri oleh para peserta sebelum dihantar untuk pertandingan.
Pameran dan pertandingan itu juga dijalankan dengan tujuan untuk memupuk kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli persatuan dan peserta yang berkongsi minat mendalam terhadap kemahiran rumah tangga demi manfaat keluarga dan rakan-rakan mereka.
Bagi memeriahkan lagi majlis, sesi penyampaian hadiah turut disampaikan oleh Hajah Yuria Abyana kepada para pemenang. Pemenang bagi tempat pertama telah dijuarai oleh Dayang Hasmah binti Haji Hamdi. Manakala tempat kedua pula disandang oleh Dayang Faizah binti Ibrahim dan bagi tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Yuzbazllah binti Awang Yusof.
Pameran turut dibuka kepada orang ramai pada sebelah petang, memberi peluang kepada pengunjung untuk menghargai hasil kreativiti dan kebolehan wanita tempatan yang berbakat.

