BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah mengadakan majlis makan malam tahunan di Dewan Cesar Grand, Hotel Mulia.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dan isteri.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Presiden Persatuan Singapura di Negara Brunei Darussalam, Dr Patrick Ang yang antara lain menyentuh mengenai keakraban warga Brunei dan Singapura yang sudah lama terjalin dan terus berkekalan sehingga hari ini.
Beliau juga turut menyampaikan penghargaan terima kasih kepada para penaja yang sama-sama terlibat dalam memeriahkan lagi acara tersebut seperti menaja hadiah bagi cabutan bertuah termasuk tiket penerbangan, TV LED dan banyak lagi.
Pada tahun ini, jelasnya lagi, persatuan tersebut akan menganjurkan beberapa acara termasuk Pertandingan Boling Persahabatan Singapura dan majlis bersungkai bersama warga Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan ahli keluarga masing-masing.
Menurutnya, persatuan berkenaan kini juga telah berjaya mengumpul dana lebih $10,000 untuk tujuan penganjuran pelbagai aktiviti tahun depan.
Sementara itu, menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai, beliau sangat gembira dengan pelbagai penganjuran acara yang telah dikendalikan oleh persatuan ini dan berharap agar semua warga Singapura yang berada di negara ini bersatu hati dalam apa juga perkara yang dilakukan.
Majlis pada malam itu turut diserikan dengan beberapa acara seperti cabutan bertuah dan juga persembahan daripada penyanyi tempatan Brunei, Maria Grace Koh dan penyanyi dari Singapura, Kathrina Ang dan Helmy Zeez.
