Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Tahun 2024 menjadi tahun yang penuh dengan pencapaian bermakna bagi Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam, yang memberi tumpuan kepada tiga perkara utama: meningkatkan pembangunan profesional, menangani kebimbangan ahli-ahli persatuan dan memperkukuhkan hubungan di peringkat domestik serta antarabangsa.
Penglibatan aktif Persatuan Undang-undang pada tahun ini terbukti melalui kerjasama yang signifikan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Presiden Persatuan Undang-undang, Haji Mohammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid, berkongsi pencapaian tersebut semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2025 di Mahkamah Besar, ibu negara, pagi tadi.
Beliau menyentuh mengenai usaha-usaha yang telah dijalankan sepanjang 2024, termasuk perbincangan dengan Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) mengenai perlaksanaan Limited Liability Partnership Order dan syarat-syarat firma guaman di bawah Legal Profession Act serta Law Society Order.
Pada bulan April 2024, garis panduan baharu telah diperkenalkan yang menetapkan keperluan untuk mendapatkan kebenaran daripada Persatuan Undang-undang sebelum pendaftaran nama perniagaan baharu atau perubahan kepada butiran nama firma guaman dilakukan.
Langkah ini diambil bagi memastikan pendaftaran firma guaman dilaksanakan secara teratur dengan peguam-peguam yang diiktiraf, demi menjaga kepentingan awam.
Selain itu, Persatuan Undang-undang juga mengadakan perbincangan dengan Pejabat Harta Intelek Brunei mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh pengamal harta intelek, khususnya berkaitan dengan proses pemeriksaan trademark dan permohonan patent.
Perbincangan bersama Kementerian Pembangunan juga diadakan untuk meneliti cadangan pindaan kepada Land Code. Rundingan telah pun dicapai dan kini menunggu pelaksanaan pindaan tersebut.
Pencapaian penting yang turut dikongsi oleh Haji Mohammad Zainidi termasuk penglibatan Persatuan Undang-undang dalam semakan negara di bawah Konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah.
Bekas Presiden Persatuan Undang-undang juga terlibat dalam sesi tersebut, memberikan pandangan tentang inisiatif negara dalam menentang rasuah.
Di peringkat perundangan, Persatuan Undang-undang telah membuat kemajuan penting dalam mengemas kini Rangka Kerja Peraturan. Salah satu pencapaian utama ialah pewartaan Legal Profession (Professional Indemnity Insurance) Rules, 2023, yang mewajibkan semua firma guaman untuk mempunyai perlindungan insurans dengan indemniti minimum sebanyak $1 juta. Langkah ini bertujuan untuk memastikan standard profesional dan kepentingan awam terjaga.
Pada bulan Jun 2024, Persatuan Undang-undang juga telah menganjurkan Kursus Latihan Asas Advokasi yang paling komprehensif setakat ini, dengan kerjasama Persatuan Undang-undang Singapura. Kursus selama empat hari ini merangkumi komponen Train the Trainers dan sesi advokasi bagi peguam-peguam baharu.
“Inisiatif ini menarik penyertaan dari sektor swasta serta rakan dari Pejabat Peguam Negara, yang menunjukkan komitmen kami untuk memupuk mereka yang berpotensi dari pelbagai sektor perundangan,” jelasnya.
Di peringkat antarabangsa, Persatuan Undang-undang telah mengukuhkan hubungan melalui penglibatan aktif dalam Persatuan Undang-undang ASEAN, perbincangan mendalam bersama Setiausaha Kehakiman Hong Kong, serta penyertaan dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan di peringkat serantau.
Selain itu, hubungan dengan Persatuan Undang-undang Singapura terus berkembang melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) pada 13 Januari lalu.
Ahli-ahli Persatuan Undang-undang juga telah menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Bantuan Guaman di Kemboja, yang memperkaya pandangan dan kerjasama antara negara dalam memudahkan akses kepada keadilan.
Selain itu, ahli-ahli muda Persatuan Undang-undang juga telah menyertai Pertandingan Moot Antarabangsa di Singapura pada Januari 2024 dan 2025. Ini menunjukkan usaha persatuan dalam memupuk kemahiran undang-undang dan kolaborasi antarabangsa serta rangkaian profesional.
Haji Mohammad Zainidi juga menekankan bahawa Persatuan Undang-undang tetap komited dalam menjalankan kawal selia, menangani aduan dan isu disiplin dengan telus mengikut prosedur statutori yang ditetapkan.
Pada tahun 2024, Persatuan Undang-undang menerima sebanyak 26 petisyen untuk kemasukan ke Badan Peguam Brunei (Brunei Bar) serta kira-kira enam aduan terhadap pengamal undang-undang. Semua aduan ini ditangani berdasarkan rangka kerja peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan standard profesional sentiasa terjaga.
Dalam usaha memudahkan akses keadilan, Persatuan Undang-undang telah mengadakan klinik bantuan guaman bulanan serta memperkenalkan sistem permohonan bantuan guaman secara dalam talian.
Kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Penjara juga telah membawa perubahan positif, membolehkan ahli-ahli Persatuan Undang-undang menjalankan tanggungjawab profesional mereka kepada anak guam yang berada dalam tahanan.
Menyentuh mengenai langkah ke hadapan, Haji Mohammad Zainidi menyatakan bahawa keutamaan Persatuan Undang-undang pada tahun ini adalah tertumpu kepada pembangunan profesional dan rangka kerja kawal selia.
Kerjasama kolaboratif antara Jabatan Kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan Persatuan Undang-undang telah memainkan peranan penting pada tahun ini, dengan enam kumpulan kerja aktif yang fokus kepada aspek kritikal dalam bidang guaman, seperti reformasi Legal Profession Act, pendedahan yuran guaman kepada klien dan pembangunan profesional berterusan termasuk syarat-syarat CPD.
Haji Mohammad Zainidi mengakhiri ucapannya dengan menyatakan harapan agar Persatuan Undang-undang terus memberikan dedikasi dan semangat dalam tahun 2025, dengan tujuan bersama-sama menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan memperkukuhkan pentadbiran keadilan serta menegakkan kedaulatan undang-undang di Negara Brunei Darussalam.