Oleh Yusrin Junaidi
Dengan statistik perkembangan situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam secara purata mencecah kadar 100 kes dalam masa sehari setentunya memberikan gambaran tentang situasi penularan dalam kalangan komuniti.
Oleh itu, kita perlu membuat persediaan awal bagi menghadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku di masa hadapan, ini termasuk kita sendiri yang mungkin terpaksa menjalani kuarantin di rumah.
Sediakan payung sebelum hujan
Tidak kira sama ada kita menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19 atau mempunyai gejala yang sama seperti mereka yang telah dijangkiti adalah disarankan untuk terus berada di rumah dan menjalani kua-rantin kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.
Oleh itu, kita perlulah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan menyediakan barang-barang keperluan bagi menjalani kuarantin dan barangan tersebut bolehlah disimpan di rumah.
Kita perlu faham dan tahu cara pemantauan kendiri dan kuarantin di rumah sekiranya menjadi kontak rapat bagi mengelakkan jangkitan dan penularan wabak kepada orang lain.

Awang Aiman (bukan nama sebenar), yang merupakan bekas pesakit COVID-19 dan baru sahaja disahkan sembuh, mengongsikan beberapa tip persediaan,barangan yang diperlukan semasa menjalani kuarantin di rumah hendaklah disediakan lebih awal kerana ia dapat memudahkan urusan, semasa ditemu bual penulis.
Jika mempunyai kelapangan masa, pada waktu inilah yang terbaik untuk menyediakan barang keperluan sebagai persediaan untuk perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka mempunyai keperluan asas bagi memudahkan mereka untuk memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa.
Antara barang keperluan yang mesti terdapat di rumah adalah alat pemeriksa suhu badan bagi memantau suhu badan kita terutama bagi mereka yang sedang menjalani kuarantin disebabkan mempunyai gejala dijangkiti COVID-19 seperti demam panas.
Oximeter pantau oksigen
Memiliki Oximeter adalah kaedah terbaik untuk memantau tahap oksigen dalam darah, kerana pengesanan awal gejala ini boleh mengurangkan komplikasi seterusnya mengelakkan kematian dalam kalangan mereka yang menjalani kuarantin di rumah jika mereka positif dan belum dibawa ke tempat rawatan.
Kekurangan oksigen dalam badan ini kebiasaannya mudah dilihat dengan simptom seperti tercungap-cungap dan kesukaran bernafas.
Sarung tangan dan pelitup muka
Sarung tangan dan pelitup muka ini bukan sahaja penting sewaktu keluar dari rumah, bahkan ketika mengendalikan proses sanitasi di sekeliling rumah. Mempunyai stok sarung tangan dan pelitup muka yang mencukupi akan memudahkan penjagaan untuk mengendalikan proses sanitasi segala sisa dan pakaian dengan selamat.
Jika kita mempunyai pembantu rumah, mereka hendaklah memakai pelitup muka setiap masa selagi pesakit positif COVID-19 masih berada dirumah dan harus mengehadkan interaksi secara bersemuka.
Proses sanitasi dan nyahkuman
Tidak kira sama ada sudah disahkan positif COVID-19 atau belum, proses sanitasi dan nyahkuman perlu dilakukan secara kerap dan sebanyak mana yang perlu. Walau nampak sukar, langkah ini dapat mengurangkan kadar risiko jangkitan yang lebih teruk.
Beberapa barangan yang perlu ada adalah beg plastik sampah untuk membuang dan pelupusan sampah, dengan menggunakan dua lapisan sampah sebelum dibuang.
Selain itu bahan pencuci seperti larutan disinfeksi yang mengandungi 0.1 peratus sodium hipoklorit, dan penyembur Nano juga boleh digunakan untuk membunuh kuman berbahaya.
Alat penyemburan Nano fog boleh memudahkan lagi penyemburan cecair pensanitasi atau nyahkuman dengan lebih cepat dan mudah manakala tisu pembersih kuman boleh digunakan untuk membersihkan telefon, tombol pintu, kerusi, meja atau kunci.