Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persediaan menghadapi peperiksaan

    Oleh NAJ

     

    PEPERIKSAAN merupakan asas penilaian yang penting untuk setiap pelajar. Melalui peperiksaan prestasi pelajar dapat dinilai dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, peperiksaan adalah sesuatu yang normal yang perlu pelajar hadapi dalam kehidupan bersekolah, jadi tidak perlulah kita khuatir atau takut dan khuatir menghadapinya. Namun begitu, tanpa persediaan yang rapi, peluang untuk mendapat gred yang cemerlang adalah sangat tipis.

    Sebagai pelajar, amat penting untuk kamu membuat persediaan awal. Jangan sesekali membuat persediaan di saat-saat akhir. Berikanlah fokus sepenuhnya kepada mata pelajaran yang kamu kurang mahir agar sebarang kelemahan boleh diperbaiki. Kehilangan fokus ketika belajar sama ada di kelas atau di rumah boleh membuatkan kamu ketinggalan dalam pelajaran. Jangan hanya belajar, kamu perlu faham dan banyak membuat ulang kaji untuk mengukuhkan lagi kefahaman dalam subjek-subjek yang berkenaan.

    Sokongan dari keluarga di rumah juga adalah penting. Para pelajar harus ingat bahawa ibu bapa menjaga dan membesarkan kita serta berusaha memberikan pendidikan yang sempurna dunia dan akhirat dengan harapan kita menjadi manusia yang berguna. Maka adalah menjadi tanggungjawab pelajar bagi memenuhi harapan ibu bapa dan guru-guru dan tidak melakukan perkara yang boleh mengguris hati dan perasaan mereka. Carilah kawan yang mempunyai sikap dan fikiran positif serta dapat memotivasikan kita untuk belajar. Tanamkan sikap “Jika orang lain boleh mendapat cemerlang mengapa tidak saya” dengan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

    Sebelum peperiksaan pastikan pelajar membuat kiraan menurun atau countdown menuju peperiksaan. Tuliskan dan letakkan ia di tempat yang sering dilihat seperti di pintu kamar atau di ruang makan di rumah. Perkara ini akan dapat memberikan peringatan kepada pelajar mengenai hari tibanya waktu peperiksaan.

    Kemaskanlah tempat belajar kamu. Bilik yang kemas memberikan keselesaan kepada pelajar mengulang kaji pelajaran. Ketepikan perkara yang tidak berkait dengan peperiksaan seperti majalah hiburan, alat-alat permainan dan apa jua yang boleh mengganggu fikiran dan mengalihkan fokus kita dari pelajaran. Ingatlah, bahawa pelajaran dapat menentukan masa hadapan kita.

    Ibu bapa menulis kata-kata semangat untuk anak-anak mereka.

    Pelajar-pelajar ditekankan untuk sentiasa aktif dalam apa juga kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.

    Salah satu cara paling efektif untuk menghadapi peperiksaan adalah dengan sering membuat latih tubi dengan soalan peperiksaan tahun terdahulu. Ianya akan dapat membantu dan membuatkan kita terbiasa dengan format soalan. Dan jika kamu tentukan masa sendiri, secara automatik pelajar sudah mampu menganggarkan kadar masa untuk menjawab setiap satu soalan agar dapat menjawab semua soalan dalam masa yang ditetapkan.

    Seminggu sebelum peperiksaan ulang kaji dan baca nota-nota ringkas yang telah dibuat terlebih awal. Tinggalkanlah kerja-kerja atau aktiviti-aktiviti yang tiada kaitan terutama dengan subjek peperiksaan seperti membaca majalah atau novel, menonton TV, membuang masa dengan bersantai atau lepak bersama kawan-kawan.

    Manakala itu kakak atau abang sangat berguna ketika ini. Untuk lebih daya ingatan dan pemahaman, cuba kamu pinjam masa mereka seketika. Terangkan kepada mereka mengenai jawapan kamu terhadap latihan kamu menjawab soalan yang lalu. Minta pendapat dan pandangan mereka, kerana segala komen mereka akan dapat membuat kamu memperbaiki jawapan kamu. Ini akan membantu kamu memahami dengan lebih jelas dalam kepala, dan kamu tahu topik yang mana kamu perlu lebih ulang kaji.

    Bersama kawan-kawan

    Ajaklah kawan-kawan mengulang kaji bersama. Mungkin kamu ada soalan yang tidak difahami, begitu juga mereka. Tapi, pastikan kamu semua fokus ketika bersama dan pastikan disiplin mengikut masa. Ini cabaran buat kamu dengan mengelakkan kamu meleret makan snek atau melepak lama-lama sehingga menjejaskan masa ulang kaji yang berharga itu.

    Jangan mengira belajar berterusan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kita lebih pandai. Sebaliknya, ambillah masa untuk berehat seketika. Sebagai contoh, andainya kamu lebih bersemangat untuk belajar di waktu pagi, berehatlah ketika menjelang tengah hari. Setiap orang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza. Jika kamu lebih produktif pada waktu malam, berehatlah lebih awal supaya kamu lebih bersedia untuk mengulang kaji pada malam hari. Tak perlulah rasa bersalah sangat kalau sesekali kamu keluar menikmati sinaran matahari.

    Tolong jauhkan diri kamu dari segala jenis makanan ringan. Mungkin adakala kamu teringin sangat nak menikmatinya, tapi ingatlah bahawa peperiksaan kamu itu jauh lebih penting.

    Tubuh dan otak sekarang adalah perkara terpenting yang perlu dijaga. Kekacang yogurt dan susu lebih baik untuk dinikmati buat masa ini. Ketika hari peperiksaan, makanlah menu yang sihat sebelum masuk ke dewan.

    Pastikan kamu banyak meminum air kosong kerana kita tidak mahu tubuh terhidrasi. Tubuh yang cukup kandungan air akan membolehkan otak bekerja pada tahap yang cemerlang. Kadar air yang cukup adalah sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

    Sehari sebelum peperiksaan diadakan, banyakkan berehat dan elakkan diri daripada menghadapi tekanan. Tidur dan bangun awal, segera tunaikan sembahyang fardu Subuh, berdoalah kepada Allah S.W.T supaya dipermudahkan segala urusan kita menghadapi peperiksaan.

    Pada hari peperiksaan, eloklah mengambil wuduk, bersalam dengan kedua ibu bapa dan memohon doa restu mereka sebelum bertolak ke sekolah. Ini kerana terdapatnya keberkatan di dalam doa dan restu daripada kedua ibu-bapa kita. Ketika tiba di sekolah, melangkahlah ke dalam dewan peperiksaan dengan yakin. Jangan panik dan takut kerana ini boleh menjejaskan prestasi kita.

    Bacalah selawat sebanyak tiga kali dan pohonlah supaya dipermudahkan segala urusan semasa menduduki peperiksaan. Bersalamlah dengan guru besar dan guru-guru kita sambil memohon doa restu dan dihalalkan segala pelajaran yang telah mereka sampaikan dan dipermudahkan kita menghadapi peperiksaan.

    Apa yang turut utama ialah jangan sekali-kali mengecilkan hati dan perasaan ibu bapa dan guru-guru kita.

    Mohon maaf kepada cikgu jika kita ada melakukan kesalahan dan pohon doa restunya supaya kita dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang. Ketika berada dalam dewan peperiksaan dan menerima kertas soalan, jangan lupa berselawat lagi kepada Nabi Muhammad SAW dan berdoa semoga dipermudahkan segala urusan khususnya dalam menjawab semua soalan dengan sempurna.

    Baca semua soalan terlebih dahulu bagi memberikan gambaran bentuk soalan. Para pelajar juga dapat mengingati jawapan yang dapat diberikan dengan mencatat fakta jawapan menggunakan pencil di atas kertas soalan.

    Pelajar kemudian akan dapat menghuraikan catatan tersebut lebih lanjut semasa membuat jawapan yang sepenuhnya.

    Amalkan kaedah recall untuk mengingati apa yang telah dipelajari. Jawab soalan dengan tenang dengan cara menjawab soalan senang dahulu kemudian menjawab soalan yang susah. Harus diingat untuk menjawab soalan yang mungkin ditinggalkan.

    Jangan berhenti sebelum masa menjawab habis dan semak berulang kali jawapan yang diberikan bagi memastikan kita telah memberikan jawapan yang terbaik.

    Sering kali kita waswas ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, keyakinan diri akan kemampuan kita akan ada jika kita sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Setelah segala usaha telah dibuat kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana doa adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda