Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seramai 82 orang pegawai dan kakitangan kerajaan yang bakal menempuh alam persaraan telah membuat kunjungan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Lawatan yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA) itu adalah sebagai salah satu program bagi mempersiapkan penjawat awam sebelum bersara.
Kehadiran rombongan yang diketuai oleh Pengiran Ali Noor bin Pengiran Haji Ismail itu dialu-alukan oleh pengurus PKWE berkenaan, Haji Ali bin Haji Emran dan penolong-penolong pengurus PKWE, Haji Hambali bin Haji Tengah, Haji Mohd Yusof bin Salleh dan Dayang Normah binti Jurulaki Haji Mohsin serta wakil dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Atikah binti Ibrahim, Dayangku Nur Satri binti Pengiran Haji Hashim dan Dayang Mariani binti Haji Jamil.
Semasa lawatan, rombongan berpeluang melihat lebih dekat kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan di pusat berkenaan dan berpeluang menyaksikan persembahan tausyeh oleh ahli-ahli pusat berkenaan serta mempelajari Al-Quran yang diajar oleh Awang Mohd Isamuddin bin Haji Mahmud.
Kebanyakan ahli-ahli PKWE terdiri daripada mantan pegawai dan kakitangan kerajaan dan sektor swasta dengan sebilangan mereka merupakan pesara anggota beruniform.
Dengan adanya lawatan tersebut, rombongan yang bakal menamatkan tugas mereka sebagai penjawat awam diharap akan dapat bersedia dan melakukan sesuatu yang bermanfaat buat diri mereka.
