BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Dalam usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan persaraan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Persatuan Perancang Kewangan Brunei Darussalam (FPAB) telah mengadakan Jerayawara 10 Tahun Menjelang Persaraan.
Berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini, jerayawara berkenaan merupakan inisiatif berterusan TAP melalui Unit Perkhidmatan Perancangan Persaraan yang disasarkan bagi ahli-ahli TAP yang akan bersara di dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, antara lain maklumat yang dikongsi semasa jerayawara tersebut termasuk faktor utama dalam membuat perancangan persaraan seperti matlamat pendapatan persaraan dengan mengambil kira impak inflasi, jangka hayat, simpanan TAP dan SCP serta keputusan dan tindakan yang perlu diambil pada masa kini untuk memastikan kemapanan dan kesejahteraan semasa bersara.
Turut diterangkan adalah manfaat membuat caruman secara sukarela yang membolehkan ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka dengan menyimpan lebih daripada kadar mandatori yang ditetapkan ke dalam akaun TAP dan akaun SCP mereka.
Ahli-ahli boleh mencarum secara sukarela dengan menggunakan perkhidmatan online e-Amanah TAP melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn di mana pada sesi tersebut, TAP juga telah membantu peserta menggunakan perkhidmatan online berkenaan.
Turut dikongsikan ialah kemudahan aplikasi mudah alih ‘TAP_Brunei’ yang membolehkan ahli untuk membuat anggaran perkiraan simpanan persaraan mereka.
Jerayawara diteruskan dengan taklimat daripada FPAB yang menerangkan mengenai perancangan kewangan seperti amalan menabung, mengawal perbelanjaan, perlindungan kewangan dan pelaburan serta perkhidmatan konsultasi penilaian kesihatan kewangan oleh perancang kewangan yang diiktiraf.
Perkhidmatan penyediaan laporan kredit juga telah disediakan oleh Unit Biro Kredit AMBD serta pemberigaan bagi menghindari skim-skim cepat kaya pula disampaikan oleh Unit lsu Pengguna Kewangan AMBD.
Jerayawara serupa akan diteruskan lagi untuk ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang. Ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai jerayawara tersebut atau mengenai perkhidmatan online e-Amanah TAP bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel ask@tap.com.bn.