Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persediaan sebelum Forum AFML

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Sebagai persediaan bagi Forum ASEAN Mengenai Pekerja Migran (AFML), Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah mengadakan Bengkel Persediaan Negara Brunei Darussalam bagi Masyarakat Sivil dan Rakan-rakan Kongsi Sosial yang diadakan di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat MKM, Salambigar, hari ini.

    Turut hadir pada bengkel berkenaan ialah wakil-wakil daripada Dewan Perdagangan Brunei, Majlis Perniagaan Brunei, Majlis Wanita Brunei, Persatuan Keusahawanan Muda, Brunei Law Society, The Brunei Chapter of the ASEAN Law Students Association dan Youth Against Slavery serta jemputan-jemputan khas.

    AFML merupakan platform terbuka untuk mengkaji, membincangkan dan bertukar amalan dan idea yang baik antara kerajaan, organisasi pekerja dan majikan, dan masyarakat sivil mengenai isu-isu utama yang dihadapi pekerja asing di Asia Tenggara.

    Presiden MKM, Haji Mohd Yusof bin Shaik Abdul Halim dalam ucapannya berkata, AFML membantu memberikan kefahaman dan kesedaran yang meluas bagi ahli-ahli MKM agar sentiasa peka dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

    Bengkel persediaan berkenaan membincangkan saranan-saranan masyarakat sivil berkaitan dengan digitalisasi untuk mempromosi kerja bersesuaian bagi pekerja migran di ASEAN.

    Haji Mohd Yusof semasa menyam-paikan ucapannya semasa bengkel yang diadakan Bilik Persidangan, Ibu Pejabat MKM, Salambigar, kelmarin.
    Antara peserta yang menghadiri bengkel berkenaan.

    Setiap tahun, forum meningkatkan saranan untuk memajukan pelaksanaan prinsip-prinsip Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran.

    Bagi tahun ini, Singapura akan menjadi tuan rumah AFML ke-11, yang akan diadakan pada 29 dan 30 Oktober depan. Singapura merupakan pengerusi ASEAN dan Jawatankuasa ASEAN mengenai Pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran (ACMW).

    AFML ke-11 akan memfokuskan kepada digitalisasi untuk mempromosikan kerja yang baik bagi pekerja asing di ASEAN dengan tema ‘Ketahanan dan Inovasi 2018’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda