Bagaikan pesta cahaya. Itulah gambaran dapat diberikan selepas menyaksikan Konsert Once Upon A Time Tour yang dijayakan penyanyi dan komposer tersohor Kollywood, Anirudh Ravichander yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Menepati tema dipilih, ‘Glow In The Dark’, konsert berdurasi tiga jam itu mengetengahkan teknologi Xyloband yang membolehkan seluruh stadium dilimpahi dengan cahaya neon.
Pancaran cahaya warna-warni bukan sahaja memberikan panorama menarik, malah bersesuaian dengan genre muzik yang rancak, bertenaga yang diketengahkan penyanyi lelaki berusia 32 tahun itu.
Sejajar teknologi digunakan, penonton diberikan gelang LED yang sudah diprogram. Ini bagi membolehkan lampu pada gelang menyalakancahaya pelbagai warna, mengikut lagu dinyanyikan rockstar yang berasal dari Selatan India itu.
Tidak dinafikan konsep ‘Glow In The Dark’ atas permintaan Anirudh itu bukan sahaja menjadikan suasana stadium bersinar, malah membangkitkan mood penonton untuk menari dan menyanyi bersama.
“Teknologi Xyloband ini memang menjadi pilihan saya, sekali gus menjadi artis Tamil pertama yang menggunakan teknologi ini,” kata Anirudh yang tampil mengenakan jaket dan seluar sedondon rona monokrom.
Muncul tepat jam 8:45 malam, Anirudh menyapa peminat dengan lagu Once Upon A Time yang menjadi lagu pembuka tirai konsert, sekali gus mengundang sorakan penonton pelbagai lapisan usia.
Suasana menjadi lebih meriah apabila penonton turut menyalakan lampu telefon bimbit untuk beberapa lagu yang didendangkan, diikuti paparan visual grafik di skrin gergasi atas pentas.
Julung kali menonton persembahannya, Anirudh mempunyai pesona tersendiri. Dengan pakej lengkap dimiliki, tidak hairanlah mengapa menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia. – Agensi
