Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan bertenaga zahir kesetiaan kepada raja

    Oleh Sim Y.H. – 

    TEMBURONG, 24 OGOS – Daerah Temburong diberikan penghormatan sebagai pembuka tirai untuk mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema, Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara bersempena dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, hari ini.

    Persembahan menggambarkan raja berwawasan mencetus inspirasi rakyat menuju kesejahteraan dan kemakmuran di mana cetusan itu, menjadi nadi serta semangat rakyat terhadap raja.

    Persembahan khas yang membawa konsep, Raja Saksama Negara Sejahtera, disertai oleh seramai kira-kira 186 orang peserta terdiri daripada penuntut sekolah menengah, murid sekolah rendah, koreografer serta Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei dengan persembahan dibahagikan kepada tiga segmen.

    Persembahan khas berkonsep, Raja Saksama Negara Sejahtera, menghuraikan sebuah manifestasi cinta dan kesetiaan rakyat kepada raja, dizahirkan melalui tarian warisan pelbagai puak dan masyarakat di Daerah Temburong yang berpadu, menenun tradisi dan budaya menjadi lambing keharmonian daerah di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan tampuk pemerintahan Baginda Sultan.

    Format persembahan menggabungkan irama tradisional dan pop etnik kreatif sebagai gambaran rakyat yang bersatu padu dalam menanai budaya kita, dalam format persembahan ini, mempersembahkan tiga segmen yang melibatkan gabungan belia Negara Brunei Darussalam serta penuntut dari sekolah menengah selama 15 minit.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra dengan para peserta persembahan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Segmen pertama mengetengahkan tari pembukaan bercorak pop etnik kreatif yang menggambarkan kegembiraan rakyat atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, tidak mengira berbagai-bagai puak yang ada di Brunei sama-sama meraikannya.

    Ia juga mengetengahkan lagu yang diciptakan khas untuk raja yang rakyat kasihi dan keperihatian rakyat dalam memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun di mana ia melibatkan seramai 50 orang penuntut dari sekolah menengah.

    Segmen kedua mengete-ngahkan tari serumpun iaitu tari yang berbentuk kehidupan rakyat yang bekerja keras menghasilkan usaha dari bumi Darussalam menggambarkan rakyat yang berusaha dalam membangun negara yang berdaulat atas pimpinan raya yang adil dan bijaksana.

    Ia juga mempersembahkan tarian daripada puak-puak yang kreatif tanpa menghilangkan dan membatasi nilai-nilai kemurniannya. Pakaiannya yang unik menggambarkan ketekunan dan usaha yang gigih dengan kemurnian budaya puak-puak yang ada di bumi Daerah Temburong yang sama-sama memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan.

    Segmen ketiga merupakan persembahan tema yang menggambarkan kegembiraan rakyat atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bagi Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda