BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Persembahan Bunga Api Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta akan diadakan pada 5 November ini di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan bermula jam 7:45 malam.
Persembahan bunga api berkenaan adalah sumbangan daripada Golongan Peniaga-peniaga Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, sebagai langkah keselamatan, pihak penganjur memaklumkan orang ramai untuk tidak menggunakan jambatan laluan pejalan kaki yang menghubung Taman Mahkota Jubli Emas ke kawasan Batu Satu sementara kerja-kerja pemasangan peralatan bunga api sedang giat dilaksanakan di kawasan tersebut.
Begitu juga semasa persembahan bunga api dijalankan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan pada jarak 250 meter.
Peringatan ini juga adalah bagi penambang-penambang perahu agar tidak merentasi semasa persembahan tersebut dijalankan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dan seluruh lapisan masyarakat serta penduduk di negara ini adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir bagi menyaksikan acara tersebut.
Seterusnya, bagi memastikan kelancaran acara persembahan bunga api itu, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga khususnya para ibu bapa untuk sentiasa menjaga keselamatan, kewaspadaan dan keberadaan anak-anak.
Begitu juga kepada para pemandu dan pengguna jalan raya diingatkan untuk memberikan kerjasama masing-masing dan sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya yang lain serta pihak jawatankuasa yang bertugas bagi kesejahteraan semua pihak.
Di samping itu, untuk menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan bandar yang disayangi, orang ramai diseru untuk sama-sama menjaga kebersihan dan menggunakan tong-tong sampah yang disediakan dengan sebaiknya.