Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan kedua Siti Nordiana dibatalkan saat akhir

    Peminat Siti Nordiana meluahkan rasa kecewa apabila penyanyi itu hanya diberikan peluang menyampaikan satu lagu sahaja semasa Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Konsert Ambang Tahun Baharu 2024 yang berlangsung pada Ahad lalu.

    Menurut pengurusnya iaitu Mohamad Al Anas Osman, 39, Siti Nordiana sepatutnya menyanyikan dua buah lagu namun persembahan kedua berjudul Bakawali dibatalkan saat-saat akhir.

    Mengulas mengenai perkara itu, Anas berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka.

    “Ia baru diketahui di belakang pentas semasa Nana nak naik ke atas pentas nyanyi lagu itu. Kami pun sebenarnya masih menunggu penjelasan daripada pihak mereka apa yang berlaku sebenarnya.

    “Saya pun tak boleh nak komen apa sebab saya tak tahu mereka punya perancangan, rasanya lebih baik tunggu penjelasan daripada mereka,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.

    Pada malam berkenaan, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana hanya menghiburkan peminat dengan sebuah lagu berjudul Tun Fatimah.

    Sementara itu, Anas berkata pihaknya sentiasa bersikap profesional dan memahami sekiranya wujud salah faham di antara penganjur.

    Namun dia sedikit kecewa apabila ada peminat yang datang dari jauh tidak dapat menyaksikan persembahan Siti Nordiana secara langsung pada malam itu. – Agensi

    Nana bersikap profesional kerana faham dengan situasi kejar masa. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda