Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 25 JULAI – Persembahan khas dengan membawa tema ‘Kekal Beraja, Kekal Bernegara’ telah mewarnai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, hari ini.
Cuaca yang cerah menguatkan lagi semangat le-bih 400 orang peserta yang menjayakan persembahan khas berkenaan termasuklah para peserta yang membawa Bendera Pisang-pisang dan kumpulan hadrah di mana setiap peserta memberikan persembahan yang penuh bertenaga yang berlangsung selama 15 minit.
Semasa ditemui Media Permata, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku pengerusi bersama persembahan berkenaan menjelaskan bahawa tema bagi Daerah Tutong itu mengetengahkan raja bijaksana memimpin rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan keamanan dengan berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai prinsip serta pegangan yang hakiki menjadikan Negara Brunei Darussalam kekal beraja dan kekal sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.
Ia dibahagikan kepada tiga segmen dengan interpretasi irama muzik dan lagu bercorak persembahan tarian tiga dimensi yang menggabungkan konsep kebudayaan seni Islam moden dan tradisional Melayu menggambarkan kewibawaan seorang raja yang berdaulat memimpin negara dengan adil lagi bijaksana.
Segmen pertama iaitu ‘Raja Berdaulat Kesayangan Rakyat’ meliputi persembahan yang dizahirkan bercorak keagamaan diiringi dengan irama dan lagu berkonsepkan seni Islam moden menjunjung kedaulatan raja.
Menerusi persembahan dalam segmen itu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz mengongsikan, dian tunggal melambangkan cahaya keimanan yang dikekalkan oleh raja atau sultan dan menjadikan Brunei sebagai negara Islam yang kukuh yang mana sebanyak enam dian tunggal melambangkan keimanan dipetik daripada Rukun Iman.
“Penggunaan kain panjang pelbagai warna terdiri daripada warna emas melambangkan kesultanan atau beraja, warna hijau melambangkan keislaman, warna merah memberi gambaran keberanian dan warna biru pula merujuk kepada lambang suasana harmoni dan
kemakmuran.”
Manakala itu, segmen kedua iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’, memberikan gambaran keakraban raja dan rakyat dalam semua aspek khususnya dalam kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat, keamanan serta kemakmuran negara.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menjelaskan lanjut bahawa elemen payung melambangkan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa di bawah lindungan dan
keberkatan.
Sementara itu, segmen ketiga pula iaitu ‘Kekal Beraja, Kekal Bernegara’ adalah lagu tema yang membawa pengertian seluruh rakyat menzahirkan taat setia kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan menyembahkan rasa syukur sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77 tahun dengan laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ sebagai penutup persembahan.