KOTA KINABALU, 31 JULAI – Persembahan khas sketsa COVID-19 bertajuk ‘Pandemik’ bagi menghargai jasa wira Malaysia ketika mempertahankan Malaysia dalam berdepan COVID-19 menyerikan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Sambutan di Padang Merdeka itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta menteri Kabinet negeri yang lain.
Sketsa COVID-19 gabungan daripada pelbagai agensi yang dikendalikan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah itu mengandungi empat segmen iaitu The Outbreak, 18 Mac 2020, Unsung Hero dan Endemik. Bacaan puisi pahlawan yang bertajuk, Barisan Hadapan Taman Bangsa yang didedikasikan buat petugas barisan hadapan COVID-19 turut diadakan, sebelum hadirin bertafakur selama 30 saat bagi mengenang perajurit negara yang terkorban semasa mempertahankan negara.
Terdahulu ketibaan Juhar kira-kira 8 pagi itu disambut Hajiji, sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan Utama selain menerima tabik hormat dan tabik hormat Pasukan Kawalan Kehormatan Utama di pentas utama.
Sebanyak 15 Kontinjen menyertai perbarisan itu antaranya Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Antara pengisian lain sambutan pada kali ini ialah acara menaikkan Jalur Gemilang, bendera negeri Sabah yang diiringi nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Sabah Tanah Airku’, tiupan paluan akhir The Last Post oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia dan tiupan Rouse. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P9-B-paper-web-Bernama_01082023.jpg)