GENTING HIGHLANDS – Kelincahan si cilik Gong Jia Yu , 10, melakukan pelbagai aksi kung fu ketika pementasan Soul of Shaolin: Hui Guang’s Story di Genting International Showroom baru-baru ini begitu memikat hati penonton. Bak kata pepatah Melayu “Kecil-kecil cili api.”
Begitulah keterujaan penonton yang memberi tepukan dan sorakan bergemuruh ketika melihat aksi gerakan ‘Tong Zi Gong’ atau ‘Shaolin Yoga’ yang dipersembahkan oleh Jia Yu. Jia Yu adalah antara 32 pengamal kung fu Tokong Shaolin dari Henan, China yang membuat persembahan teater muzikal yang menggabungkan seni mempertahankan diri itu selama sebulan, bermula 28 Mei hingga 26 Jun.
Dikatakan pementasan pertama di dunia yang menggabungkan seni kung fu dan muzikal, teater ini menyaksikan 18 jenis kung fu dipersembahkan menerusi penceritaan tanpa dialog. Ia berkisar kepada kisah kehidupan pengamal kung fu Shaolin, Hui Guang, yang menjadi yatim piatu setelah ditinggalkan ibunya sewaktu kecil. Hui Guang kemudian diselamatkan seorang sami bernama Na Luo dan dibawa ke Tokong Shaolin dan dilatih menjadi antara pengamal kung fu Shaolin tersohor ketika zamannya.
Cabaran melatih Kung Fu Shaolin
Bagi Jia Yu, menyertai persembahan itu satu cabaran besar buatnya yang hanya berusia 10 tahun apabila terpaksa mengaplikasikan dua kemahiran dalam satu masa di atas pentas iaitu Shaolin Yoga dan membuat mimik muka, ketika memegang watak Hui Guang versi kanak-kanak.
“Kebanyakan daripada pengamal kung fu Shaolin hanya berlatih kung fu dan bermeditasi untuk berlatih Qigong dalaman dan luaran sebagai rutin harian. “Bagi kami sebagai anak murid Tokong Shaolin, agak mencabar buat kami apabila diminta melakukan mimik muka mengikut babak dan jalan cerita di atas pentas, di samping menggayakan pelbagai aksi Kung Fu.
“Namun, kami sangat berbangga kerana dapat membuat persembahan dan seterusnya mempromosikan seni Kung Fu Shaolin ke seluruh pelusuk dunia,” demikian menurut Zhang Bin, 31. Ketika sesi temu ramah dengan pemberita dan krew produksi teater muzikal itu, Jia Yu kelihatan malu-malu dan hanya mengiyakannya apabila Zhang Bin menjawab soalan bagi pihaknya.
Tidak seperti kanak-kanak lain yang menghabiskan masa bermain dan melakukan aktiviti riadah selepas waktu persekolahan, Jia Yu mula mengikuti latihan seni mempertahankan diri itu secara serius selepas diterima sebagai anak murid Tokong Shaolin, ketika berusia tujuh tahun.
Rutin harian bermula seawal pukul 5 pagi. Sebelum matahari terbit, beliau dan sami yang lain sudah sibuk melakukan aktiviti memanaskan badan serta berlatih Qigong dengan melakukan meditasi.
“Waktu berlatih kami bergantung kepada empat musim dalam setahun, misalnya jika musim bunga atau panas, kami akan mula berlatih lebih awal kerana waktu siang lebih panjang daripada malam. “Namun demikian, kami akan memastikan semua anak murid berlatih kemahiran Kung Fu sekurang-kurangnya lapan jam dalam sehari,” jelas Zhang Bin yang merupakan ‘abang sulung’ kepada 31 sami Tokong Shaolin yang terlibat dalam teater itu.


100 pertatus aksi Kung Fu Shaolin sebenar
Menurut Pengarah pementasan tersebut, Xue Wei Jun, ‘Soul Of Shaolin: Hui Guang Story’ mengambil tempoh 14 tahun sebelum ia dipertontonkan buat kali pertama kepada orang ramai. “Sebelum pementasan itu, kami menjalankan proses pemilihan dari Tokong Shaolin bagi memastikan kesemua pelakon kami mampu mempersembahkan kemahiran kungfu dengan menggabungkan lakonan mengikut penceritaan secara profesional.
“Oleh itu, semua yang dipertontonkan dalam pementasan itu adalah 100 peratus aksi kung fu Shaolin sebenar. “Selain itu, pementasan ini adalah kisah benar yang berlaku sewaktu peperangan dalam sejarah tamadun China. Namun jalan cerita diperindahkan dengan sedikit pembaikan,” kata pengarah yang berasal dari Shanghai, China itu.
Tidak hairanlah, teater muzikal itu pernah dicalonkan untuk 63rd Tony Awards pada 2009 dan dipentaskan di lebih 500 destinasi seluruh dunia seperti Australia, Itali, Amerika Syarikat dan Singapura. Wei Jun berkata, Soul Of Shaolin: Hui Guang Story bukan sekadar pementasan semata-mata, malah lebih kepada pertukaran budaya antara dua negara.
Jangan tiru aksi berbahaya
Ketika sesi latihan, Xiao Wei sering kali menasihati para pelakonnya supaya tidak menyalahgunakan kemahiran Kung Fu untuk berlawan. Malah beliau turut mengingatkan pembaca atau penonton khususnya kanak-kanak supaya tidak meniru mana-mana aksi bahaya yang dipersembahkan oleh golongan terlatih, baik yang dilihat secara langsung ataupun dari kaca televisyen.
“Hal ini kerana mereka telah dilatih sejak kecil terutamanya dalam kemahiran ‘Qi Gong’, sebab itu mereka boleh melakukan aksi ngeri dan berbahaya di atas pentas tanpa kecederaan,” katanya. Pandangan itu turut dipersetujui Zhang Bin, yang pernah mengalami kecederaan ketika berlatih babak mengangkat badannya dengan menggunakan senjata tajam.
“Mujur kami dilatih untuk menggunakan kemahiran ‘Qi Gong’, kalau tidak memang tidak dapat bertahan,” katanya sambil menunjukkan bekasnya di tangan akibat kecederaan semasa kecil. Kali pertama Zhang Bin mengikut rombongan Kung Fu Shaolin ke Malaysia, beliau sebenarnya gembira kerana cuacanya tidak sejuk seperti mana di Tokong Shaolin yang memudahkannya menjalani latihan.
“Di Tokong Shaolin yang terletak di Gunung Songshan, cuaca pada kebanyakan masa sejuk. Keadaan itu memaksa golongan sami memakai pakaian tebal dengan kasut yang kebal sejuk,” katanya.
Xiao Wei turut melahirkan rasa bangganya terhadap pencapaian teater muzikal itu kerana berjaya menyebarkan kesedaran dalam seni mempertahankan diri yang berusia lebih daripada 200 tahun. “Seni mempertahankan diri Kung Fu jika tidak disebarkan akan semakin dilupakan. Oleh itu, ia turut memperingati dan mengajar kami menghargai perjuangan nenek moyang bagaimana mereka mewarisi seni mempertahankan diri selama lebih 200 tahun itu,” katanya mengakhiri perbualan. – Bernama