Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Dalam memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 pada tahun ini, beberapa acara sampingan disediakan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan.
Sebagai salah satu acara berkenaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan mengadakan acara persembahan pentas perayaan di Kawasan Letak Kereta Bangunan Alat Kebesaran Diraja di ibu negara bermula 15 hingga 31 Julai ini.
Perkara ini dijelaskan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, selaku Ketua Urus Setia Persembahan Pentas Perayaan Daerah Brunei dan Muara 2017, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz pada sidang media di jabatan berkenaan, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, sebanyak 17 acara persembahan akan memeriahkan sepanjang sambutan perayaan berkenaan.
Menurutnya, persembahan yang bermula pada pukul 8 malam hingga 10:30 malam itu bercorak keagamaan, kebudayaan dan juga hiburan selain juga berkonsep persembahan dan pertandingan.

Antara acara yang akan memeriahkan pentas perayaan itu adalah persembahan warna-warni PESTAB, pertandingan deklamasi puisi junjung daulat, pertandingan tausyeh pra-universiti, Pentarama, Malam ASEAN dan Malam Sumbangsih.
Beliau juga menambah, pada tahun ini, acara persembahan pentas perayaan juga akan diadakan di Jerudong Park Amphitheatre pada 15 Julai dengan mempersembahkan malam kebudayaan Progresif anjuran Progresif Cellular Sdn Bhd.
Manakala itu, pada 30 Julai pula akan diadakan Pertandingan Bermukun Keputeraan Senegara 2017 anjuran Kumpulan Warisan Budaya Mukun dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke persembahan pentas perayaan bagi sama-sama memeriahkan lagi perayaan sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71 tahun.