MEXICO CITY, 11 NOV – Lebih 1,000 pemuzik mariachi berkumpul di plaza utama Mexico City kelmarin, mengalunkan gitar dan menyanyikan lagu-lagu klasik seperti Cielito Lindo bagi menutup kongres mariachi yang meraikan seni muzik tradisional berkenaan.
Jumlah pemuzik kali ini dilaporkan mengatasi rekod sebelumnya seramai 700 mariachi yang pernah berhimpun di Guadalajara, Mexico.
Organisasi Rekod Dunia Guinness belum memberi maklum balas kepada pertanyaan dari The Associated Press sama ada perhimpunan itu berjaya mencatat rekod baharu.
Ramai pemuzik yang hadir datang dari pelbagai bandar di Mexico dan berkongsi kegembiraan dapat bermain di plaza ikonik negara itu, menyifatkan muzik mariachi sebagai tradisi keluarga yang dipelajari sejak kecil.
Jesus Morales, yang mula bermain biola pada usia lapan tahun di bawah tunjuk ajar ayahnya, berkongsi pengalamannya, di mana pada usia 13 tahun, dia bermain biola bersama bapa saudaranya dalam kumpulan Mariachi Morales di bandar Hidalgo.
“Warisan utama yang diturunkan oleh ayah saya ialah menghormati muzik dan akar budaya kami,” katanya.
Kumpulan mariachi memainkan pelbagai alat muzik termasuk gitar, trompet dan biola.
Seorang mariachi berpengalaman 20 tahun, Aida Juarez, adalah perintis kumpulan mariachi wanita di Mexico.
“Kami bangga kerana memecahkan (rekod) ini. Ia satu kebanggaan sebagai rakyat Mexico,” katanya.
Seorang peniaga yang menghadiri acara tersebut, Diana Rocio Campos, menyatakan kecintaannya terhadap muzik mariachi.
“Sesiapa yang mendengarnya pasti teruja, sama ada mereka rakyat Mexico atau tidak,” katanya.
“Orang ramai datang dari pelbagai negara seperti Colombia dan Jepun untuk mendengar mariachi,” tambahnya. – AP