Oleh Sim Y. H.
TEMBURONG, 29 JULAI – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah telah mengadakan Persembahan PENTARAMA Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Pentas Perayaan Kawasan Dermaga, Pekan Bangar, Daerah Temburong kelmarin.
PENTARAMA iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.
Melalui program berbentuk infotainment itu, Jabatan Penerangan secara tidak langsung memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat seperti penyalahgunaan dadah, penyebaran berita palsu dan lain-lain.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Abdul Walid bin Haji Matassan.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Zon 1, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar serta pemangku penghulu Zon 2, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi bersama bagi acara-acara Malam Keraian Daerah Temburong.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema, PENTARAMA dan tarian daripada Penari Arts and Culture Club, Cosmopolitan College dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air iaitu, Rasyiqah, Dayat, Krunn dan Marsya Dania.
Kumpulan Pentas Insan Seni yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk Medsos Melalaikan yang mana mengisahkan mengenai ibu bapa yang terlalu sibuk dengan media sosial sehingga lalai dalam mengerjakan kewajipan agama, lupa akan adab sopan terhadap orang tua serta tanggungjawab mendidik anak.
Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka daripada Najib & Loh (BruHaha) yang membawakan mesej untuk sentiasa berwaspada ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan penipuan dalam talian.
Selain itu turut diadakan ialah Kuiz PENTARAMA untuk para penonton, yang mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh Haji Abdul Walid.
Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu, Dirgahayu.
Persembahan PENTARAMA akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain iaitu di Daerah Brunei dan Muara pada esok, 30 Julai di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja.
Persembahan turut diadakan pada 2 Ogos nanti di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait dan di Daerah Tutong pada 3 Ogos, berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan Persembahan PENTARAMA bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79.