Persembahan seni meriahkan malam perayaan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 26 Julai – Bagi memeriahkan lagi suasana malam perayaan, gabungan Majlis Belia Daerah Tutong (MBDT) dan Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) Daerah Tutong telah mengadakan acara Malam Irama Keputeraan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun bagi Daerah Tutong, semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.

Acara persembahan dimulakan dengan nyanyian Lagu Puja Usia oleh ahli-ahli MBDT dan B2K, seterusnya diikuti dengan persembahan gulintangan oleh Kumpulan Gulintangan B2K Daerah Tutong.

Selain itu, acara turut menyaksikan deklamasi puisi oleh beberapa orang penyair tempatan seperti K.Manis, Dino, Abdullah Tahir, Hajah Rohaidah, Dr. Chong Ah fok dan Norhamy.

Tetamu kehormat majlis bergambar ramai bersama ahli-ahli MBDT dan B2K Daerah Tutong.
Tetamu kehormat majlis bergambar ramai bersama ahli-ahli MBDT dan B2K Daerah Tutong.

Acara berkenaan bertujuan bagi memeriahkan lagi suasana malam perayaan di Daerah Tutong bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-71 tahun di samping dapat menonjolkan beberapa puisi tanah air yang ditulis oleh penyair-penyair terkenal di negara ini.

Selain itu, dengan adanya kerjasama antara MBDT dan B2K, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli dan seterusnya meningkatkan perpaduan bersama.